Iklan

Dihimpit kenaikan kos, anak muda harap bantuan ibu bapa

Yasmin Ramlan7 years ago3rd Jan 2018Berita
Urban poor family news  tmi nazirsufari 345
Semakin ramai anak muda kini terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan ibu bapa akibat dihimpit tekanan kos sara hidup tinggi dan gaji yang rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2018.
Iklan

SEMAKIN ramai anak muda kini terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan ibu bapa akibat dihimpit tekanan kos sara hidup tinggi dan gaji yang rendah.

The Malaysian Insight menemui anak muda ini yang rata-rata berkata, ibu bapa mereka bersikap memahami dan simpati dengan keadaan yang dihadapi hari ini. 

Kebanyakannya menerima bantuan tempat tinggal, makan minum dan wang kecemasan daripada orang tua.

Ramai golongan muda menafikan tanggapan mereka masih memerlukan bantuan ibu bapa meskipun sudah bekerja kerana sikap manja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2017.

Seorang daripadanya adalah Shahril Mohd yang hanya meraih pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan. Jumlah ini tidak cukup untuk menanggung perbelanjaan dirinya, kata anak muda ini.

Ibunya, bekas jururawat yang berusia 59 tahun dengan pendapatan pencen sebanyak RM2,500. Ibunya tidak merungut, malah bersimpati dengan nasibnya, kata Shahril.

“Gaji kecil buatkan kita nak menyewa rumah pun fikir dua tiga kali. Sekarang ini saya pergi kerja naik motor buruk. Kadang-kadang motor rosak, ayah yang bantu bagi duit untuk baik pulih. 

“Kadang-kadang mak ayah kita pun kasihan pada kita sebab tak mahu tengok anaknya susah,” kata pembantu mekanik berusia 25 tahun ini. 

Shahril menyangkal tanggapan yang anak muda hari ini masih memerlukan bantuan ibu bapa mereka meskipun sudah bekerja hari ini kerana sikap manja. 

“Tak manja, tapi memang tak mampu. Dulu pun susah, tapi harga barang tak semahal sekarang. Bayangkan 10 tahun dulu, gaji untuk promoter kasut RM800 di pasar raya. 

“Waktu itu harga barang murah. Sekarang? Gaji asas masih RM800 tapi harga barang sudah berbeza. Jadi tak boleh banding (keadaan sekarang) dengan dulu,” kata anak bongsu daripada empat orang adik-beradik itu. 

Ibu bapa tanggung semua

Satu kajian HSBC mendapati lebih separuh daripada ibu bapa di Malaysia masih menampung anak-anak dari segi kewangan. 

Kajian itu mendapati, 69% ibu bapa membantu dalam bidang pendidikan, 41% membantu menanggung kos hidup harian, 38% membantu tanggungan kos perubatan dan pergigian, 27% menanggung kos sewa atau penginapan dan 29% lagi menanggung kos percutian.

Kajian yang dibuat di Malaysia di antara Mac dan Mei tahun ini dijalankan ke atas 1,000 orang anak muda berusia 25 tahun.

Mengulas mengenai hasil kajian tersebut, seorang lagi anak muda yang ditemui The Malaysian Insight, Huda Amirah Hamidon berkata, seboleh-bolehnya dia tidak mahu mengharapkan bantuan daripada ibu bapanya. 

Namun, anak muda berusia 25 tahun itu berkata, setakat ini dia masih tinggal sebumbung dengan ibu bapanya.

Dari segi keperluan makan minum dan perbelanjaan rumah, ibu bapanya menanggung kos ini sepenuhnya, namun kos yang lain di bawah tangunggannya sendiri. 

“Mereka memahami kerana ini pekerjaan pertama saya. Bagaimanapun, saya tetap usahakan simpanan untuk ada rumah sendiri satu hari nanti,” katanya. 

Huda Amirah bekerja sebagai eksekutif jaminan mutu dengan pendapat di bawah RM3,000 sebulan, namun ia masih tidak mencukupi.

Oleh itu, dia perlu mengenepikan banyak kehendak dan lebih mengutamakan tanggungjawab, katanya.

Perbelanjaan rumah dan keperluan makan minum akan ditanggung ibu bapa sementara golongan muda yang bekerja tampung kos lain terutama diri sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2017.

Segan tapi terpaksa

Keadaan ini turut dirasai oleh penulis bebas yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Alisa, 30, yang tersepit dengan situasi ini. 

Beliau berasa segan untuk mengharapkan bantuan ibu bapanya memandangkan mereka tidak lagi bekerja dan menerima bayaran wang Pertubuhan Keselamatan Wang Sosial (Perkeso). 

“(Gaji saya) memang tidak setimpal sebab peningkatan sara hidup yang sangat tinggi. Harga barang naik mendadak, itu belum kira kos untuk tol dan petrol terutamanya bagi yang duduk di kawasan bandar macam saya.

“Itu belum termasuk bayaran pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),” katanya. 

Dia mengakui masih terdapat anak muda yang sudah bekerja, malah telah berkahwin tetapi masih mengharapkan bantuan kewangan daripada ibu bapa yang berkemampuan. 

“(Tetapi) ada sesetengahnya yang terpaksa minta (wang dari ibu bapa) sebab gaji tidak mencukupi untuk sara hidup diri sendiri. 

“Macam saya, saya hanya memperolehi RM2,000 sebulan bergantung pada kerja yang saya dapat. Jadi, disebabkan pendapatan tidak menentu, saya masih tinggal dengan ibu bapa dan tidak mempunyai kenderaan sendiri. 

“Kalau saya nak pergi mana-mana, sama ada guna pengangkutan awam atau pinjam kereta ibu saya. Dan saya akan tampung sendiri kos petrol dan tol,” katanya. 

Bantu mana yang mampu

HSBC dalam laporannya menyebut, fenomena ini akan membawa kesan buruk kerana golongan ibu bapa ini akan menghabiskan purata 33 peratus daripada pendapatan boleh guna mereka ke atas anak-anak dewasa dan semakin kurang berbelanja untuk diri sendiri atau menyimpan untuk persaraan.

Menurut HSBC, 67% daripada golongan ibu bapa ini mengutamakan pendidikan tinggi anak-anak berbanding persaraan mereka.

Sebanyak 30% lagi akan mengeluarkan simpanan untuk menampung seorang anak dewasa dan 17% lagi akan berhutang. 

Seorang daripada ibu dimaksudkan adalah Norhayati Seman, 58, yang berkata beliau memahami situasi dihadapi anaknya.

Ibu kepada Nur Alisa itu berkata, beliau akan membantu selagi mampu. 

“Kos sara hidup yang tinggi dan gaji kecil memang salah satu sebab. Kita sebagai mak mestilah kesian tengok anak-anak tak cukup duit untuk makan. 

“Tapi kadang-kadang kita pun geram juga sebab kita sendiri pun tak cukup (belanja),” kata suri rumah yang memperolehi bayaran caruman wang Perkeso melebihi RM2,000 setiap bulan melalui suaminya. 

Katanya, wang tersebut digunakan untuk membayar bil eletkrik, air dan telefon serta keperluan rumah yang lain.  

“Kalau ibu bapa yang bekerja mungkin tak terasa sangat tapi kalau yang tak bekerja memang terasa, sebab kita ada komitmen bulanan seperti bayar bil. 

“Pada saya kalau sekali-sekali okeylah untuk bantu tapi kalau selalu sangat memang tak mampu,” katanya. 

Sementara itu, perancang kewangan Robert Foo mengakui kenaikan harga barang keperluan kini tidak setimpal dengan gaji yang diperolehi pekerja, terutama graduan yang baru bekerja. 

Katanya, ini berbeza jika dibandingkan dengan keadaan pada 15 hingga 20 tahun dahulu. 

Foo memberi contoh harga rumah dan kereta – dua perkara utama yang akan dimiliki seseorang dewasa yang sudah bekerja. Perbezaan harganya pada masa kini amat ketara jika dibandingkan  dengan harga yang dibayar oleh generasi sebelumnya.

“Jika anda lihat apa yang kita bayar pada 20 tahun dahulu, dibandingkan dengan apa yang perlu mereka bayar sekarang, ia amat sukar untuk mereka berdikari, tidak lagi sebumbung dengan keluarga dan tinggal di rumah sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Tak sama dengan ibu bapa zaman sebelumnya

Tambahnya, tidak mudah bagi golongan muda ini untuk memiliki rumah sendiri tanpa bantuan ibu bapa walaupun sudah berkahwin. 

“Sama juga dengan kereta, walaupun kereta biasa – kononnya kereta buatan Malaysia pun harganya sangat mahal,” katanya. 

Tambahan pula, barangan lain yang turut mengalami peningkatan harga mendadak, tidak selari dengan pendapatan bulanan kini. Ini termasuk harga petrol dan kos untuk belanja makan di luar. 

Foo berkata, keadaan yang mencabar ini membuatkan apa yang dinikmati oleh ibu bapa terdahulu sewaktu hari emas mereka tidak mungkin dapat dinikmati oleh ibu bapa hari ini. Bagaimanapun, anak muda dari keluarga senang mempunyai pilihan yang lebih baik. 

Sebagai contoh, golongan ini berpeluang untuk bekerja dengan keluarga mereka yang mempunyai perniagaan sendiri, dan tidak perlu bekerja dengan gaji rendah, kata Foo.

“Yang terkesan selalunya adalah golongan pertengahan dan golongan sederhana rendah atau dari B40 (pendapatan RM3,900 sebulan dan ke bawah). 

“Mereka ini akan sangat terkesan, lebih-lebih lagi kalau mereka mempunyai keluarga yang besar,” katanya. – 3 Januari, 2018.  

Iklan
Iklan