Agensi pelancongan bakal buang pekerja, muflis selepas PKP 2.0
Iklan
PEMBERHENTIAN pekerja dan muflis akan menjadi corak biasa bagi agensi pelancongan kerana industri itu tidak mampu melalui setahun lagi tanpa pendapatan yang berpunca daripada pandemik Covid-19, kata pemain industri.
Penguatkuasaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) akan menjadikan keadaan bertambah sukar untuk mereka, ketika syarikat sudah pun mengecilkan operasi dan menyusun strategi baharu bagi mengurangkan kos dan mengekalkan operasi.
Mereka berkata PKP sekali lagi merencatkan perancangan pelan promosi pelancongan domestik.
Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Albert Tan berkata banyak agensi pelancongan yang bergantung kepada pelancong asing, mengalami keadaan di mana mereka tidak memperoleh pendapatan langsung tahun lalu.
“Agensi pelancongan di bawah persatuan kami meminta kakitangan bertahan tanpa gaji. Mereka juga membenarkan pekerja mencari kerja separuh masa untuk menampung kehidupan,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.
“Sekurang-kurangan 50% agensi pelancongan terpaksa buat begitu. Hari bekerja dikurangkan kepada tiga hari seminggu. Tetapi kos sewa dan lain-lain tidak dapat dielakkan.
“Kami perlu perhatian daripada Kementerian Pelancongan. Pada awalnya, kementerian beri kami harapan yang sempadan akan dibuka semula pada Mac tahun ini.”
Industri itu kini menjangkakan mereka akan dapat bangkit semula paling awal pada hujung Jun, dan itu juga perlu bergantung kepada keadaan pandemik.
Presiden Persatuan Pelancongan Tempatan Cina Malaysia (MICA) Angie Ng berkata PKP baharu yang dikuatkuasakan meletakkan mereka kembali ke keadaan asal.
“Kami kecewa. Tidak ada siapa dapat meramalkan sesuatu yang baik untuk industri pelancongan pada 2021,” katanya.
Ng berkata walaupun ada negeri yang diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), tetapi dengan jumlah jangkitan Covid-19 mencecah ribuan kes setiap hari, orang ramai takut untuk keluar bercuti.
“Pelancongan tempatan di sesetengah kawasan bertambah baik, dan kami jangka kerajaan mungkin buka sempadan pada April atau Mei, dan pemulihan industri pelancongan mungkin bermula seawal Jun, dengan 20% pelancong asing mulai masuk semula ke negara ini pada Julai dan Ogos.
“Sekarang, semua itu tidak pasti, dan kami hanya boleh menanti hingga akhir tahun. Kami sedang bersiap sedia untuk mempromosikan pakej pelancongan dan percutian di pulau, tetapi sekarang industri terpaksa menggantung semua promosi,” katanya.
Ng berkata MICA mempunyai 300 ahli, dan hampir semuanya menjangkakan pendapatan sifar untuk tahun ini.
Inovasi
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata 3,000 ahli mereka sudah mula menggunakan cara maya untuk menarik pelancong asing.
Dan agak mengejutkan, apabila respons yang diterima agak baik.
“Ramai pelancong asing berminat untuk meneroka warisan arkeologi Lembah Lenggong. Ahli persatuan kami juga menganjurkan pelancongan secara maya dan menarik ramai pelancong luar negara termasuk dari Eropah dan Amerika Syarikat,” kata Uzaidi kepada The Malaysian Insight.
Pelancongan secara deria cara untuk menarik pelancong menerusi platform atas talian di mana mereka boleh berkomunikasi dengan pemandu pelancong tempatan dan mengalami sendiri pelbagai tarikan, katanya.
Uzaidi berkata PKP kali kedua mungkin boleh membantu industri itu dalam jangka panjang, menambah industri itu mungkin tiada harapan untuk pulih jika Covid-19 semakin sukar dikawal.
Katanya, pelancongan domestik akan hanya mulai pulith pada suku ketiga atau keempat tahun ini.
“MITA pada asalnya merancang untuk menerima kembali pelancongan China pada September dan Oktober, iaitu pada musim cuti mereka. Tetapi sekarang Covid-19 dalam keadaan sukar dikawal dan tidak nampak bayang pun sempadan akan dibuka semula,” katanya.
Uzaidi berkata Qatar Airways malah merancang untuk mengadakan penerbangan langsung ke Langkawi, tetapi sekarang semuanya terpaksa ditangguhkan.
Situasi di Sabah
Pengurus Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Sabah Kennedy Fung berkata sekurang-kurangnya dua tahun diperlukan sebelum industri pelancongan dapat naik semula.
Beliau berkata terdapat lebih 500 agensi pelancongan di Sabah dan sebahagiannya sudah ditutup.
“Sekarang, kita hanya boleh tunggu dan lihat bagaimana keadaan pandemik ini selepas Tahun Baharu Cina.
“Kalau boleh pun melancong, akan ada banyak sekatan. Industri ini terpaksa pulih perlahan-lahan.”
Pelancongan adalah sumber pendapatan kedua terbesar di Sabah.
Fung berkata banyak warga asing tinggal di Sabah berharap dapat melancong di negeri itu, tetapi terhalang kerana pelbagai sekatan.
Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan kini dikenakan PKP, sementara Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan di bawah PKPB. Hanyak Sarawak dan Perlis kekal PKPP.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga mengisytiharkan darurat, berkata ia diperlukan untuk kerajaan melawan Covid-19 secara berkesan. – 15 Januari, 2021.