Iklan

Kes keganasan rumah tangga melonjak, kata kumpulan wanita

Aminah Farid4 years ago16th Jan 2021Berita
49931060707 b96cea74b1 o
Tekanan ekonomi dan penjarakan sosial memburukkan lagi keadaan dengan keganasan rumah tangga mungkin berlaku bagi mereka yang terperap di rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Januari, 2021.
Iklan

LAPORAN keganasan rumah tangga di masih tinggi dan membimbangkan setelah hampir setahun negara berada di bawah pelbagai larangan pergerakan untuk memerangi pandemik Covid-19, kata Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Sepanjang kawalan pergerakan dilaksanakan, WAO dan Talian Kasih melaporkan peningkatan keganasan rumah tangga yang drastik.

Pegawai penyelidikan dan advokasi Yap Lay Sheng, memberitahu The Malaysian Insight, jumlah panggilan dan pesanan WhatsApp yang diterima WAO masih sangat tinggi.

“Bulan lalu, kami menerima 561 panggilan dan pesanan teks. Pada bulan yang sama pada 2019, jumlah pertanyaan yang kami terima hanya 233,” katanya.

WAO mula melihat peningkatan laporan keganasan rumah tangga pada Mac tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Jumlah laporan meningkat kepada 898 pada April dan 848 pada bulan Mei, sementara Talian Kasih melaporkan peningkatan 57% (1,893 panggilan) dari para wanita yang mengalami masalah pada Mac.

Talian Kasih adalah talian di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dapat diakses oleh orang ramai. Ia bertindak sebagai titik utama bagi individu untuk bertanya, membuat aduan atau memohon bantuan kebajikan.

Yap berkata, semua panggilan diterima WAO berkaitan dengan kesusahan yang dihadapi oleh mangsa keganasan berdasarkan jantina, dengan majoriti mereka berhadapan dengan keganasan rumah tangga.

Sepanjang kawalan pergerakan dilaksanakan, WAO dan Talian Kasih melaporkan peningkatan keganasan rumah tangga yang drastik. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Januari, 2021.

Tekanan ekonomi dan penjarakan sosial yang dikenakan telah memburukkan lagi keadaan dengan keganasan rumah tangga mungkin berlaku bagi mereka yang terperap di rumah, katanya.

“Sudah pasti angka-angka ini akan terus meningkat setelah negara kini kembali melaksanakan perintah kawalan pergerakan,” tambahnya.

Yap juga berkata, WAO mendapati bahawa operasi talian 24 jam semasa PKP sangat penting.

“Ketika kami membandingkan statistik ketika dan selepas PKP, kami dapati dalam tempoh ‘normal’, panggilan lebih tertumpu pada waktu bekerja, mungkin disebabkan mangsa bebas membuat panggilan ketika pemangsa bekerja,” katanya.

“Namun, semasa PKP, jumlah panggilan pada waktu petang dan malam meningkat secara tidak seimbang,” kata Yap, sambil menambah bahawa peningkatan sangat jelas pada tengah malam ketika mangsa keganasan berdasarkan gender (GBV) mempunyai privasi relatif.

Walaupun GBV menyumbang sebahagian besar laporan selama perintah berkurung, Yap berkata, terdapat juga peningkatan panggilan yang berkaitan dengan penderaan warga emas.

“Kami juga melihat peningkatan panggilan dari warga emas semasa PKP. Sebagai contoh, pada Januari pemanggil/pelanggan berusia 50 tahun keatas menyumbang menjadi 3.03% daripada jumlah panggilan hotline, tetapi pada April peratusan ini melonjak menjadi 11.49%.”

Walaupun berlaku peningkatan, hampir tidak ada perbincangan umum yang mengangkat isu penderaan warga emas. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Januari, 2021.

Beliau berkata, walaupun berlaku peningkatan, hampir tidak ada perbincangan umum yang mengangkat isu penderaan warga emas.

Yap juga berharap kerajaan memberikan menjelaskan secara terperinci mengenai rancangan untuk memperuntukkan dana bagi memperkukuhkan tempat perlindungan GBV di Malaysia.

“Kami mendesak pihak berwajib dana-dana ini disalurkan ke agensi kerajaan, kerajaan pusat, atau kumpulan masyarakat sivil yang mempunyai sejarah menangani keganasan berdasarkan gender.”

Yap berkata, mangsa yang selamat dari GBV memerlukan penjagaan yang sesuai dan perkhidmatan sosial khusus yang terbaik bagi menolong mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan akan datang, selain menambah WAO sentiasa terbuka buat sesiapa sahaja yang ingin melarikan diri dari keadaan bermasalah.

“Tempat perlindungan kami untuk wanita dan kanak-kanak diatur oleh prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menjaga keselamatan dan kesihatan semua orang.”

Dengan ramalan keganasan rumah tangga kemungkinan besar akan kekal tinggi tahun ini ditambah pula dengan lanjutan PKP, WAO juga telah menumpukan lebih banyak sumber untuk memperluas perkhidmatan sosial, memperluaskan lagi persediaan talian 24 jam dan menugaskan lebih ramai pegawai sokongan untuk membantu mangsa.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi WAO di talian 03-79563488 atau Whatsapp/ SMS Tina di 6018-9888-058.

Malaysia kini berada dalam perintah darurat sehingga 1 Ogos.

Selain itu, kerajaan juga meletakkan tujuh negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan - di bawah PKP.

Lima lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan diletakkan di bawah PKP bersyarat sehingga 26 Januari sementara Sarawak dan Perlis masih berada di bawah PKP pPemulihan. – 16 Januari, 2021.

Iklan
Iklan