Iklan

NGO, pembangkang tuntut SPRM siasat semula kes tanah Felda

Yasmin Ramlan7 years ago27th Dec 2017Berita
Felda macc 20171227 tmihasnoor 001
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil dilihat memasuki bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya hari ini. Beliau menggesa SPRM tidak menutup kes pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak kerana elemen rasuah dan salah guna kuasa mungkin wujud dan tidak boleh dikecualikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Disember, 2017.
Iklan

KUMPULAN NGO dan pemimpin pembangkang menuntut agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan ke atas kes pemindahan hak milik tanah Felda kepada sebuah syarikat swasta.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil berkata, SPRM tidak harus menutup kes tersebut kerana elemen rasuah dan salah guna kuasa mungkin wujud dan tidak boleh dikecualikan.

“Kami pemuda Amanah dan Anak (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan) berpendapat transaksi pindah milik tanah Felda tersebut dibuat secara penipuan dan menggesa pihak SPRM tidak menutup fail siasatan skandal ini,” katanya.

Katanya, fail berhubung tanah yang kini dibangunkan nilai pembangunan kasar mencecah RM6 bilion itu harus dibuka semula untuk menjalankan siasatan yang adil, telus dan bebas.

Faiz berkata, badan bebas itu juga mempunyai kuasa menyiasat dan mendakwa kes-kes yang melibatkan penipuan dan pecah amanah.

Tambahan pula, bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad juga mengakui belum dipanggil SPRM untuk siasatan berhubung kes tersebut, katanya lagi.

“Sedangkan beliau  adalah saksi penting berhubung skandal ini di atas kapasiti beliau sebagai pengerusi Felda dan FIC pada masa yang material,” kata Faiz kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM.

Faiz merujuk kenyataan Isa pada Isnin lalu yang menyatakan bahawa bekas menteri Umno itu masih belum dipanggil SPRM untuk disiasat berhubung kes tersebut.

Sementara itu, Presiden Anak, Mazlan Aliman, berkata satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sepatutnya dibentuk untuk menyiasat isu berkenaan Felda untuk membongkar masalah dalam agensi tersebut.

“Kita telah sebut dengan SPRM mengapa begitu cepat timbalan pesuruhjaya (SPRM) buat kesimpulan yang tiada unsur rasuah di dalam kes ini dan diserah kepada pihak polis.

“Sepatutnya penyiasatan itu harus dilakukan terlebih dahulu sebelum apa-apa kesimpulan dilakukan. Jadi inilah antara perkara-perkara yang kita sebut tadi,” katanya.

“Inilah sebab (Anak) mendesak supaya RCI mengenai Felda khususnya di zaman Isa Samad ini mesti dilakukan,” katanya.

Beliau percaya, terdapat isu lain yang akan dibongkarkan dalam RCI tersebut dan isu skandal tanah di Jalan Semarak itu hanyalah sebahagian daripada projek Felda yang bermasalah.

SPRM dalam kenyataan minggu lalu menyebut, kes pemindahan hak milik tanah tersebut tidak melibatkan unsur rasuah atau salah guna kuasa dan menyerahkannya untuk siasatan polis.

Sementara itu laporan dalam akhbar Berita Harian hari ini menyebut, firma swasta yang didakwa terlibat dengan skandal berkenaan patut diheret ke mahkamah dengan tuduhan menipu.

Dengan memetik sumber yang tidak dinamakan, laporan itu menyebut tuduhan itu perlu dikenakan ke atas Synergy Promenade Sdn Bhd kerana memindah hak milik tanah Felda kepada syarikat itu sendiri.

“...Dakwaan perlu dibuat atas sebab penipuan. Walaupun perkara itu belum dibuktikan, tindakan yang dilakukan oleh syarikat berkenaan adalah bertentangan dengan apa yang sepatutnya dibuat oleh sebuah pemaju induk,” laporan itu dipetik. – 27 Disember, 2017.

Iklan
Iklan