Iklan

Peniaga pasar malam bakal rugi besar kerana PKP, kata persatuan

Khoo Gek San4 years ago21st Jan 2021Berita
Pasar malam night market
Ramai peniaga pasal malam berdepan kerugian kerana sudah menempah dan mengambil stok sempena Tahun Baharu Cina tetapi tidak dibenarkan berniaga kerana PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2021.
Iklan

PENIAGA pasar malam di negeri di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) berdepan kerugian besar, bahkan terpaksa menghentikan perniagaan jika mereka tidak dibenarkan beroperasi, terutama apabila sudah membeli stok Tahun Baharu Cina.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, perlu ada keputusan seragam yang dibuat oleh kerajaan untuk membolehkan mereka beroperasi kerana pada masa ini hanya beberapa majlis tempatan di negeri di bawah PKP memberi kebenaran dengan protokol kesihatan ketat.

Bagi yang dibenarkan berniaga pula, mereka berkata PKP serta kebimbangan mengenai jangkitan Covid-19 menyebabkan pelanggan berkurangan dan seterusnya kehilangan pendapatan.

Mereka berkata sudah mengambil stok untuk perayaan Tahun Baharu Cina tetapi semuanya akan menjadi sia-sia, mengakibatkan kerugian kewangan yang besar bahkan boleh menyebabkan muflis.

Presiden Persekutuan Penjaja dan Peniaga Petty Yow Boon Chuan berkata ahlinya sudah membeli stok yang banyak sempena perayaan Tahun Baharu Cina tetapi kini berdepan larangan beroperasi.

“Beberapa penjaja sudah membeli 6,000 kotak limau, tetapi sekarang tidak boleh berniaga kerana PKP. Beberapa peniaga juga membeli stok khas untuk perayaan tersebut.

“Sebagai contoh, jika peniaga menempah produk bernilai RM30,000, bagaimana hendak membayar pemborong jika tidak dapat menjual produk? Ini yang berlaku bagi produk dan makanan berkaitan dengan perayaan.

“Selepas perayaan berakhir, ia tidak lagi laku.

“Saya berharap kerajaan dapat membenarkan peniaga kecil dibuka selepas 26 Januari agar mereka dapat menjalankan perniagaan sepanjang tempoh kritikal perayaan,” katanya.

Lebih baik sedikit daripada tiada langsung

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Bergerak Kuala Lumpur, Lim Suai Chai berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup pasar malam ketika PKP, menyebabkan penjaja dengan stok Tahun Baharu Cina buntu.

Lim berkata menurut zodiak Cina, ini adalah Tahun Lembu dan segala persiapan sudah dirancang dengan peniaga mengeluh mereka mungkin hanya dapat menjual produk tersebut 12 tahun kemudian.

Katanya, kumpulan penjaja kini berbincang dengan DBKL dan berharap pihak berkuasa tempatan mempertimbangkan semula keputusan menutup pasar malam dan membenarkan mereka berniaga.

“PKP dijadualkan hingga 26 Januari, hanya ada dua minggu lagi sebelum perayaan dan peniaga berharap dapat menjual stok mereka.

“Mengapa pusat membeli-belah dibenarkan dibuka sedangkan pasar malam ditutup?” Kata Lim.

Beliau berkata pasar malam selalu mematuhi prosedur operasi standard Covid-19, dengan pelanggan segera meninggalkan premis selepas membeli makanan atau produk lain kerana tidak dibenarkan berlegar-legar.

“Selama setahun yang lalu, perniagaan untuk penjaja dan peniaga kecil sudah berada dalam keadaan suram, kami hanya memperoleh sekitar RM100 sehari. Walaupun perniagaan tidak bagus kerana PKP, ia lebih baik daripada tidak mempunyai pendapatan langsung.

“Walaupun kita hanya memperoleh RM30 sehari, sekurang-kurangnya kami dapat membeli makanan untuk diri sendiri,” kata Lim.

Beliau berkata ini juga akan memberi kesan rama-rama (butterfly effect) kepada penjaja dan peniaga. 

Sebagai contoh, jika mereka tidak dapat membayar pinjaman rumah dan kereta, bank akan mengejar untuk membuat pembayaran, dan jika mereka tidak dapat membayar yuran sekolah, maka anak mungkin terpaksa berhenti sekolah. – 21 Januari, 2021.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan