Warga KL lega taman awam dibuka semula
Iklan
PENDUDUK di Kuala Lumpur mampu menarik nafas lega apabila mereka dibenarkan untuk melakukan aktiviti riadah di taman awam di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, mereka turut menyatakan pengguna kemudahan ini perlu lebih berdisiplin dan mempunyai tanggungjawab dalam memastikan mereka memainkan peranan untuk menghentikan penularan Covid-19.
Menurut mereka, pengguna juga perlu mengamalkan amalan kesihatan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa, dan pihak DBKL juga perlu memantau mereka.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Addy, 36 berkata amat penting untuk melakukan aktiviti riadah ketika PKP, yang mana itu sebabnya perlu untuk taman awam terus dibuka kepada pengunjung.
“Saya akui jumlah kes Covid-19 sangat tinggi namun mereka yang datang untuk beriadah perlu jaga diri dan sentiasa mematuhi SOP. Taman awam hanya perlu dibenarkan untuk mereka yang mahu beriadah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi pengunjung Taman Botani Perdana, Ken, 43 berkata pihak berkuasa perlu membenarkan taman awam dibuka melainkan terdapat kes Covid-19 yang tinggi di kawasan berkenaan.
“Kerajaan perlu benarkan semua taman awam di seluruh negara dibuka selagi jumlah kes Covid-19 tidak melebihi 40 kes dalam jarak 1km persegi dari taman,” katanya.
Tambahnya pengunjung juga hanya perlu datang ke taman sama ada untuk berbasikal atau berjoging.
“Mereka tidak boleh dibenarkan ke taman sekiranya untuk bersosial kerana ia boleh menyumbang kepada peningkatan kes.”
Seorang pengawal keselamatan di Taman Botani Perdana berkata mereka yang datang ke taman perlu memandang serius keadaan dan mematuhi SOP Covid-19.
“Ada yang tidak peduli untuk mengimbas suhu mereka atau aplikasi MySejahtera
“Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka terus berlari dari luar ke taman tanpa berhenti.
“Pada pendapat saya, mereka sepatutnya memakai pelitup muka dan hanya menanggalkannya apabila memasuki premis,” kata lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Samuel.
Pemerhatian The Malaysian Insight menunjukkan terdapat kod QR MySejahtera dan pengimbas suhu bagi pengunjung taman mengimbas sebelum masuk tetapi terpulang kepada mereka sama ada mahu melakukannya atau tidak.
Tiada penghalang fizikal diletakkan kecuali di kemudahan taman permainan dan gazebo untuk mengelakkan orang ramai berkumpul.
Walaupun kebanyakan pengunjung datang sendirian atau berpasangan, ada juga yang membawa anak.
DBKL mengarahkan agar semua taman awam dan taman permainan di bawah jagaannya ditutup sepanjang tempoh PKP yang bermula pada 13 Januari.
Bagaimanapun, beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan Kuala Lumpur, mendesak pihak berkuasa mempertimbangkan semula keputusan ini, dengan berkata ia tidak sesuai dengan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa orang ramai harus diizinkan melakukan riadah kerana tempoh pengasingan dapat mempengaruhi kesihatan mental.
Berikutan itu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata taman yang dikendalikan oleh DBKL akan tetap dibuka semasa PKP.
Orang awam kini dibenarkan melakukan aktiviti rekreasi seperti berjoging dan berbasikal asalkan mereka memastikan jarak 2m antara satu sama lain setiap masa. – 22 Januari, 2021.