Kerjasama dengan Umno tidak mustahil dalam norma baharu politik, kata Adun DAP
Iklan
KERJASAMA antara DAP dan Umno bukan perkara yang mustahil dalam “norma baharu” politik, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim.
Adun Sekinchan itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau menyokong cadangan supaya DAP bekerjasama dengan Umno di Perak ketika kemelut politik di negeri itu selepas Ahmad Faizal Azumu disingkirkan dari jawatan menteri besar melalui usul undi percaya.
Ng, yang juga naib pengerusi DAP Selangor, berkata walaupun cadangan yang dibawa oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming itu mencetus banyak kritikan, namun ia tidak mustahil berlaku jika ada titik persamaan dan persetujuan antara parti-parti lawan.
“Selagi mana ada titik persamaan, maka ia (kerjasama dengan Umno) diterima. Dalam Umno Perak, ada ahli politik yang baik dan tidak. Selangi semua orang berpusat ke satu matlamat dan memerintah dengan kata sepakat, maka DAP boleh bekerjasama dengan Umno.
“Kita (DAP) bukan hendak kejar kuasa, tetapi ini adalah norma baharu dalam politik,” Ng memberitahu The Malaysian Insight.
Sentimen itu timbul ketika berlaku pergolakan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan gerakan untuk menggulingkan presiden Bersatu itu.
Beberapa ahli Parlimen Umno baru-baru ini menarik sokongan terhadap Muhyiddin, menjadikan PN kini hanya mempunyai 109 daripada 222 sokongan ahli Dewan Rakyat, sekali gus hilang majoriti. Dua kerusi kosong berikutan kematian penyandangnya.
September tahun lalu, Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.
Manakala lebih daripada 20 usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin telah dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat oleh pembangkang dan ahli Parlimen Umno.
Namun, Muhyiddin mengagalkan gerakan untuk menjatuhkannya dengan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat untuk membendung pandemik Covid-19.
Pada 12 Januari lalu, Agong memperkenankan proklamasi darurat diisytihar sehingga 1 Ogos atau lebih awal, bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.
Pengkritik melihat proklamasi darurat bermotifkan politik kerana kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 13 Januari sudah memadai untuk menangani pandemik.
Ng berkata Umno dan PAS adalah contoh norma baharu politik, apabila menandatangani perjanjian pada 2019 untuk menjalin kerjasama di bawah Muafakat Nasional selepas enam dekad berseteru.
“Jika dua parti ini boleh ketepikan permusuhan lama untuk bekerjasama, jadi mengapa tidak Pakatan Harapan juga jalinkan kerjasama dengan Umno?”
Segalanya berkemungkinan
Menurut Ng, isu kerjasama dengan Umno mula hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong DAP.
“Saya percaya untuk permulaan ia pasti sukar (untuk pengundi), kita perlu berikan mereka sedikit masa. Sekarang, apabila kita dengar maklum balas tentang idea itu, ia sedang dipertimbangkan… sedangkan tidak pernah terfikir pun sebelum ini.
“Sudah tentu, belum ada kerjasama lagi.
“Tetapi tidak salah kalau kita bayangkan. Kalau kita bayangkan (kerjasama) maka kemungkinan itu ada. Kita terbuka kepada segala kemungkinan.”
Pucuk pimpinan DAP sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan Umno yang ramai pemimpinnya terpalit rasuah. – 23 Januari, 2021.