Ibu tunggal jalani keperitan sepanjang PKP
Iklan
KEHIDUPAN di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat sukar bagi kebanyakan orang, baik daripada segi kewangan, fizikal dan mental, namun ia lebih sukar bagi ibu tunggal.
Setahun berdepan beberapa tahap larangan pergerakan menjadikan perjuangan hidup lebih sukar bagi beberapa orang ibu tunggal, stigma terhadap ibu tunggal menyebabkan kesukaran itu menjadi lebih parah.
Bagi kebanyakan wanita ini, cabaran terbesar adalah bagaimana untuk menyediakan masa depan yang lebih baik, bukan hanya untuk diri mereka sendiri, bahkan bagi anak-anak yang mereka besarkan sendirian.
Dengan pandemik Covid-19 yang masih berterusan, ketidakpastian mengenai apa yang mungkin berlaku pada masa depan menimbulkan ketakutan dan kegelisahan yang bagi sebilangan mereka.
Vanshika, ibu tunggal dua anak dari Puchong memberitahu The Malaysian Insight bahawa dia diberhentikan sebagai Ketua Jabatan di sebuah syarikat kejuruteraan di Shah Alam akibat wabak itu.
Dia berkata dirinya belum mendapat pekerjaan kerana merasakan wujud diskriminasi kaum dan fizikal. Dia juga berkata turut menjadi sasaran buli oleh statusnya sebagai ibu tunggal.
“Saya sukar mencari pekerjaan kerana kebanyakan pekerjaan memerlukan saya fasih bahasa tertentu. Saya juga seorang wanita berukuran besar menjadikan diskriminasi terhadap saya berganda, bahkan, status saya sebagai ibu tunggal membuat saya dibuli,” katanya.
Vanshika juga mengalami kesulitan untuk meminta bantuan kerajaan kerana tidak memiliki dokumen perceraian yang menjadi syarat bantuan.
“Saya cuba memohon Bantuan Prihatin Rakyat semalam, jika anda mempunyai dua anak, anda mungkin akan menerima RM1,800 namun ketika saya klik status sebagai bujang, anak-anak saya tidak dikira, kerana saya tidak mempunyai dokumen yang diperlukan. Saya juga tidak dapat klik status ‘ibu tunggal’,” katanya.
Vanshika telah dimasukkan ke dalam kategori B40 kerana kehilangan pekerjaan. Namun, statusnya sebagai ibu tunggal telah menyukarkan dirinya untuk mendapatkan bantuan walaupun merupakan orang yang mendapat gaji kelas menengah.
“Saya telah mendekati banyak NGO tetapi kerana saya berada dalam kumpulan pendapatan M40 permohonan saya ditolak,” katanya.
Buat masa ini, kebimbangan utama adalah kekurangan komputer riba untuk anaknya yang berusia tujuh tahun bagi menghadiri kelas.
“Setakat ini, kami meminjam komputer riba daripada ahli keluarga dan rakan,” katanya.
“Saya seorang ibu tunggal beranak dua. Pada hari biasa kehidupan menuntut saya bekerja keras bagi memenuhi keperluan kerana kami tidak mendapat banyak bantuan. Namun wabak ini menjadikann keadaan lebih teruk.”
Dia berkata kerajaan harus mempertimbangkan lebih banyak dasar untuk membantu ibu tunggal, mereka harus terlebih dahulu memperakui status ibu bapa yang belum berkahwin dan memberikan bantuan yang sesuai untuk mereka. – 24 Januari, 2021.
Berita penuh di sini