Iklan

Putrajaya harus utamakan ketahanan PKS ketika pandemik, kata laporan

Aminah Farid4 years ago27th Jan 2021Berita
Mco2.0 epa
Pelaksanaan PKP yang berterusan tahun lepas menyebabkan gangguan besar terhadap operasi perniagaan, dan pelaksanaan PKP 2.0 ketika ini berkemungkinan akan menyebabkan gangguan lebih besar terhadap ekonomi dalam beberapa bulan akan datang, kata Ideas. – Gambar EPA, 27 Januari, 2021.
Iklan

PUTRAJAYA digesa melaksanakan dasar ekonomi yang efektif bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertahan daripada impak pandemik Covid-19, kata laporan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Laporan bertajuk “Post Covid-19 Recovery: Building SME Resilience” menyimpulkan sebahagian besar inisiatif dalam pakej rangsangan kerajaan lebih menumpu kepada tindak balas segera terhadap krisis berbanding membina ketahanan untuk jangka panjang.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan tahun lepas bagi membendung penularan Covid-19 telah menyebabkan gangguan besar terhadap operasi perniagaan, dan pelaksanaan PKP 2.0 berkemungkinan akan menyebabkan gangguan lebih besar terhadap ekonomi negara dalam beberapa bulan akan datang, menurut laporan itu.

Meskipun pakej rangsangan ekonomi sebelum ini membantu meringankan beban kewangan industri paling teruk terjejas iaitu pembuatan, peruncitan dan pelancongan, namun laporan Ideas menggariskan beberapa cabaran kepada pelancaran bantuan kerajaan terhadap PKS, termasuk ketepatan masa bantuan, kekurangan kesedaran dalam kalangan PKS dan cabaran-cabaran praktikal mengakses bantuan. 

Laporan Ideas turut mengenal pasti beberapa cabaran berkaitan langkah-langkah bagi membantu sektor PKS menyesuaikan diri dengan ‘norma baharu’ melalui pendigitalandan automasi.

“Sebagai contoh, kos tersembunyi untuk berpindah ke dalam talian, seperti komisen dan keperluan pekerja yang berlainan, telah mengekang peralihan kepada banyak peruncit kecil.

“Dalam pembuatan, geran-geran kerajaan untuk automasi cenderung dipesongkan kepada projek-projek berteknologi lebih tinggi, sedangkan kebanyakan PKS tertumpu kepada sektor berteknologi rendah lalu terlepas bantuan yang ditawarkan.” 

Laporan yang ditulis secara bersama oleh Pengurus Penyelidikan Ideas Lau Zheng Zhou dan pembantu penyelidik Sabrina Tang serta Yohendran Nadar Arulthevan, menawarkan pandangan berasaskan bukti agar penggubal undang-undang dapat memahami dengan lebih baik pelbagai kelemahan dalam langkah-langkah dasar.

Tidak ketinggalan, bidang pertumbuhan yang berpotensi dengan menilai pakej-pakej rangsangan ekonomi dalam beberapa sektor yang terjejas teruk seperti pembuatan, peruncitan dan pelancongan.

“Ketika Malaysia masih dalam proses penyembuhan dari langkah-langkah sekatan pergerakan pada tahun 2020, saya menggesa pihak kerajaan untuk mempertimbangkan pelbagai saranan yang dikemukakan oleh kertas laporan ini pada masa Malaysia memasuki satu lagi pusingan perintah sekatan pergerakan pada tahun 2021,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ideas Tricia Yeoh.

Menurut Yeoh,  langkah-langkah ekonomi dan pakej rangsangan ekonomi terdahulu tidak memberikan manfaat kepada sebahagian besar PKS kerana terdapat jurang pelaksanaan seperti asimetri maklumat, kekurangan kemas kini yang tepat pada masanya dan kaedah pembayaran dana bantuan yang tidak berkesan. 

“Tambahan pula, tumpuan dasar pada tahun 2020 seolah-olah ketinggalan dari segi memberikan kepastian terhadap arah pembangunan ekonomi masa hadapan. 

“Oleh itu, terdapat keperluan yang mendesak untuk pakej-pakej rangsangan ekonomi akan datang atau pelan-pelan utama kebangsaan agar dapat dilancarkan dengan lebih berkesan supaya dapat menangani cabaran-cabaran struktural sedia ada demi membantu PKS membina ketahanan,” jelasnya. – 27 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan