Iklan

Bekalan makanan laut berdepan 3 ancaman

Khoo Gek San4 years ago28th Jan 2021Berita
Wet market 201900713 afif 10
Harga makanan laut akan terus meningkat kerana bekalan tidak mampu memenuhi permintaan yang tinggi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2021.
Iklan

HARGA makanan laut melonjak antara 20% hingga 40% menjelang musim Tahun Baharu Cina susulan sekatan pergerakan, tangkapan sedikit pada musim hujan dan kekurangan tenaga kerja asing, kata para pemain industri.

Tiga faktor ini menyebabkan restoran besar Cina tidak mengambil stok makanan laut, kata Presiden Persatuan Awam Industri Ikan Malaysia Chia Tian Hee.

Sekatan pergerakan, sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan selepas 4 Februari, juga akan tetap dilaksanakan semasa Tahun Baharu Cina, menyebabkan hampir tiada tempahan untuk makan besar dan sambutan syarikat.

Walaupun terdapat tempahan secara langsung secara dalam talian daripada isi rumah yang mengatasi kekurangan permintaan daripada restoran, Chia berkata harga makanan laut masih akan naik kerana cuaca buruk.

Beliau berkata sehingga 70% kapal nelayan di utara Semenanjung tidak turun ke laut dalam beberapa minggu kebelakangan ini kerana cuaca, menyebabkan hasil tangkapan makanan laut terburuk dalam tempoh lapan tahun ini.

“Sekarang kita menghadapi masalah tidak mempunyai bekalan mencukupi untuk memenuhi permintaan kerana tempahan makanan laut dalam talian daripada isi rumah yang ingin merayakan Tahun Baru Cina di rumah sangat besar,” kata Chia.

Di Sekinchan, Selangor, bot nelayan menghadapi kekurangan tenaga kerja, katanya.

“Ada masalah terpaksa melatih buruh asing selama enam bulan sebelum mereka boleh turun ke laut, hanya menjadikan mereka dicuri pihak lain yang membayar lebih tinggi.”

Ditambah dengan hujan lebat berbanding kebiasaan pada musim tengkujuh ini, beliau berkata beberapa kapal menyaksikan hasil tangkapan berkurangan hingga 20%, terburuk dalam tempoh lapan tahun terakhir.

“Kami pernah menghadapi keadaan seperti hujan lebat dan penurunan hasil sebelum ini, tetapi ia dijangka berlanjutan hingga selepas Tahun Baharu Cina,” katanya.

Harga makanan laut yang meningkat adalah udang bersaiz sederhana, yang kini harganya sekitar RM62 hingga RM63 sekilogram berbanding harga biasa, RM52 sekilogram.

“Keluarga Cina juga suka makan ikan bawal, tetapi ikan ini sekarang mahal, lebih RM40 berbanding harga biasa kerana kekurangan hasil tangkapan.

“Sebuah kapal nelayan boleh berada di laut sepanjang minggu dan hanya mampu menangkap dua atau tiga ekor ikan bawal. Kini ada permintaan besar daripada pelanggan dan terdapat tekanan besar terhadap nelayan kita untuk memenuhinya,” katanya.

Restoran menyesuaikan diri

Presiden Persatuan Restoran Koo Soo dan Chef Malaysia, Wong Teu Hoon berkata restoran besar sekarang mengelak mengambil stok makanan laut kerana menjangka jualan yang teruk.

“Semasa perayaan Tahun Baru Cina yang lalu, restoran memesan makanan laut 300kg hingga 400kg untuk dibekukan dan disimpan.

“Tahun ini, kami hanya menerima 30% hingga 50% daripada jumlah biasa tempahan. Restoran masih akan membuat tempahan untuk perkhidmatan bungkus,” kata Wong.

Beliau berkata banyak restoran besar juga memilih tidak beroperasi untuk makan malam dan fokus pada kepada penjualan makanan secara bungkus untuk tahun ini.

Strategi ini adalah cara untuk meminimumkan kerugian, bagi mengelak tutup kedai dan percubaan pada masa depan jika pelanggan dijangkiti Covid-19.

Wong juga berkata banyak restoran turut menurunkan harga makanan untuk bungkus, berbanding harga makan malam.

“Dahulu, pakej perayaan biasanya berharga RM1,000 ke atas. Sekarang, pakej makanan bungkus yang kami tawarkan adalah antara RM300 hingga RM400,” katanya.

Wong berkata restoran juga mendapat pelajaran berharga daripada sekatan pergerakan, seperti mengambil lebih banyak pesanan daripada yang mampu disiapkan.

Sekarang, restoran mengehadkan jumlah pesanan kepada jumlah yang mereka mampu dalam sehari agar pelanggan dapat tempahan mereka.

Restoran besar berhasrat untuk beroperasi hingga jam 8 malam pada malam Tahun Baharu Cina, ketika makan besar dan juga akan dibuka pada hari pertama tahun baharu dari jam 4 petang hingga 8 malam, katanya.

“Munasabah beroperasi untuk perkhidmatan bungkus walaupun cuti umum kerana ramai orang tidak pulang ke kampung halaman untuk meraikannya kerana sekatan pergerakan.” – 28 Januari, 2021.

Iklan
Iklan