Iklan

Ebit Lew mula misi 10 hari bantu rakyat Sabah

Aminah Farid4 years ago28th Jan 2021Berita
Ebit lew sabah facebook
Ebit Lew memulakan misi bantuan melibatkan penghantaran 1,000 bungkusan makanan, 100 kerusi roda, 75,000 pelitup muka dan 200 komputer tablet untuk pelajar. – Gambar Facebook, 28 Januari, 2021.
Iklan

PENCERAMAH bebas Ebit Lew hari ini memulakan misi bantuan selama 10 hari di empat daerah di timur Sabah yang memerlukan bantuan segera.

Dalam beberapa kenyataan yang disiarkan di Facebook dan Instagram, Pengasas Pertubuhan Kasih Umat Malaysia (PKUM) itu berkata misi itu akan melibatkan bantuan 1,000 bungkusan makanan, 100 kerusi roda, 75,000 pelitup muka dan 200 komputer tablet untuk pelajar.

Ebit berangkat dari ibu negara ke Tawau awal pagi ini dan akan meneruskan perjalanan ke Lahad Datu untuk program pertamanya bersama anggota polis di ibu pejabat polis di daerah itu petang ini.

Ketua sukarelawan PKUM Sabah Mohamad Ikhsan Helzy Sutarso kumpulan itu akan menuju ke Kunak pada Sabtu sebelum bergerak ke Semporna untuk bertemu penduduk di sana dan kembali ke Tawau.

Beliau tidak dapat menyatakan jumlah penerima bantuan itu kerana sukarelawan masih mengemaskini senarai tetapi mereka dijadualkan mengunjungi empat kampung di Lahad Datu dan hospital di kawasan itu.

“Untuk gajet kepada pelajar bagi tujuan pembelajaran, kita mendapatkan bantuan pihak pengurusan sekolah dan guru-guru bagi mengenalpasti pelajar yang memerlukan bagi tujuan PdPR.

“Memandangkan sesi sekolah telah bermula, mereka (pihak sekolah) boleh mengatasi masalah yang dihadapi pelajar,” kata Ikhsan sambil menambah jumlah penerima akan dibincangkan malam ini.

Misi bantuan Ebit mendapat tawaran khas Malaysia Airlines dengan harga penerbangan yang murah.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata pihaknya berbesar hati untuk menyokong usaha Ebit melaksanakan misi bantuan kemanusiaan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“MAS membawa kumpulan 18 sukarelawan dari PKUM menggunakan dua penerbangan ke Tawau, Sabah.

“Kumpulan ini akan menyalurkan komputer tablet, kerusi roda, bekalan perubatan dan makanan kepada keluarga dan anggota barisan depan di kawasan pendalaman.”

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Kapten Izham Ismail dan KetuaP Pegawai Operasi Kumpulan Ahmad Luqman Mohd Azmi mengiringi kumpulan itu yang menaiki penerbangan MH2660 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. – 28 Januari, 2021.

Iklan
Iklan