Iklan

Sektor perabot tempatan laku selepas arahan BDR

Khoo Gek San4 years ago30th Jan 2021Berita
50810314981 726cb15818 o
MFC telah memberitahu semua anggotanya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selain membuat ujian suhu terhadap pekerja dengan ketat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2021.
Iklan

SEKTOR perabot tempatan mendapati peningkatan tempahan selepas arahan bekerja dari rumah (BDR) kerana Covid-19 menjadi norma baharu, kata pengeluar perabot.

Mereka berkata permintaan untuk perabot pejabat datang dari seluruh dunia, dengan beberapa pengeluar menerima pesanan hingga 2022.

Bagaimanapun pada masa sama, mereka juga menghadapi kesulitan lain seperti kos tinggi bahan mentah dan penghantaran, selain kekurangan tenaga kerja.

Presiden Majlis Perabot Malaysia (MFC), Khoo Yeow Chong berkata, pesanan di sektor ini meningkat sekitar 30 peratus, dengan tempahan dibuat sehingga tahun hadapan.

Sebilangan besar pesanan, datang dari Jepun, Singapura, Australia dan Amerika Syarikat sahaja 60 peratus daripada keseluruhan pesanan, katanya.

Walaupun tidak ada kekurangan pesanan, Khoo berkata, pandemik ini turut menimbulkan banyak masalah logistik, seperti kekurangan kontena, menyebabkan biaya penghantaran meningkat dari AS$1,000 kepada AS$2,500.

Beliau berkata, ini menyebabkan kenaikan secara drastik kos bahan mentah seperti kayu, span, bahan kimia, keluli dan lain-lain. Contohnya, span telah mengalami kenaikan harga sekitar 60 peratus.

Khoo memberitahu The Malaysian Insight, kenaikan permintaan disebabkan oleh peningkatan jumlah orang yang BDR, terutama mereka yang membuat rumah pejabat, yang memerlukan perabot berlainan untuk tujuan kerja.

“Untuk model kerja dari rumah, ramai mengambil peluang untuk menukar atau menambah perabot. Malah pemaju hartanah kini mempromosikan produk mereka dengan ruang kerja yang bersepadu.

“Beberapa syarikat juga menyediakan elaun kerja dari rumah, yang membolehkan pekerja membeli lebih banyak perabot untuk kegunaan kerja,” katanya.

Sementara itu, sektor ini terus berjuang dengan kekurangan tenaga kerja dan kerisauan terhadap Covid-19.

Kerajaan juga mewajibkan majikan menyediakan tempat tinggal yang sesuai kepada pekerja asing sejak tahun lepas bagi mengelakkan penularan wabak.

Penginapan untuk pekerja

Khoo berkata sektor ini menyokong sepenuhnya keperluan perumahan pekerja asing oleh kerajaan. Sekarang mereka bergelut dengan persoalan sama ada akan mendirikan tempat tinggal di luar atau di dalam kawasan kilang.

Beliau juga berkata MFC telah memberitahu semua anggotanya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selain membuat ujian suhu terhadap pekerja dengan ketat.

Katanya, beliau bersyukur kerana tidak ada wabak serius dalam sektor perabot setakat ini.

“Ketika kami memikirkan kemungkinan pekerja asing mendapat jangkitan, pekerja ini jarang sekali meninggalkan kilang ketika bekerja. Jika kes dikesan di kilang, kemungkinan pekerja tempatan membawa penyakit dari luar.

“Kami bersetuju dengan syarat kerajaan untuk menempatkan pekerja asing, tetapi kami masih membincangkan tentang perincian lain seperti lokasi.

“Kami ada idea untuk mempunyai dorm pekerja terpusat di kawasan perindustrian bagi semua pekerja asing dari industri yang berlainan tinggal di dorm yang sama.

“Kemudian jika pemaju melabur berjuta ringgit untuk membina dorm, adakah pekerja asing dari sektor lain juga dibenarkan tinggal di sini?

“Pilihan lain adalah memiliki tempat tinggal di perkarangan kilang itu sendiri, tetapi itu bergantung kepada pemilik premis.

“Pilihan lain pula adalah dengan menyewa hartanah di kawasan perumahan, tetapi itu boleh menimbulkan kemarahan jiran. Ini semua persoalan yang perlu ditangani,” katanya.

Tambah Khoo, buruh asing biasanya makanan mereka disediakan majikan dan bekerja dari siang hingga malam. Ini bermaksud kurangnya risiko mendapat jangkitan Covid-19.

Jika ada kes di dalam kawasan kilang, kemungkinan pekerja tempatan menularkan penyakit itu kepada pekerja asing, katanya. – 30 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan