Iklan

PKP 2.0 menekan, keluarga bantu salur makanan

Elill Easwaran4 years ago31st Jan 2021Berita
Covid-19 food 20210131 004
Lebih dari 150 orang muncul di gazebo banglo itu di Seksyen 19 bagi mendapatkan barang keperluan asas termasuk beras, minyak masak, mi segera, tin sardin, gula dan tepung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Januari, 2021.
Iklan

SEBUAH keluarga di Shah Alam, Selangor mengubah bahagian hadapan rumah mereka bagi menjadikannya sebagai pusat pengedaran bantuan makanan kepada mereka yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) di kawasan kejiranan itu.

Petang semalam, untuk tempoh tiga jam sahaja, lebih dari 150 orang muncul di gazebo banglo itu di Seksyen 19 bagi mendapatkan barang keperluan asas termasuk beras, minyak masak, mi segera, tin sardin, gula dan tepung.

“Kami buka pada pukul 1.30 tengah hari dan pada jam 4.30 petang, semuanya habis,” kata Marissa Zahara Maslan, wakil keluarga yang murah hati dengan melaksanakan idea membantu mereka yang memerlukan.

“Setelah ibu bapa saya membeli barang keperluan, kami letakkan di gazebo kami di luar rumah, dengan harapan orang akan mengambilnya.

“Ini pertama kalinya kami melakukan perkara seperti itu dan kami tidak pasti bagaimana untuk melaksanakannya. Agak huru-hara juga, kerana kami terpaksa berulang-alik untuk stok bekalan bantuan.

“Pada awalnya saya rasa orang tidak yakin apakah mereka dapat menerima bantuan, kemudian ketika kami memasang papan tanda ‘percuma, sila ambil ikut keperluan’, saat itulah orang mulai datang,” kata wanita berusia 24 tahun itu.

Lebih ramai orang mula muncul selepas beliau memuat naik status Twitter tentang usaha mereka sekeluarga dan orang ramai mula berkongsi di platform Facebook dan Instagram.

Mereka yang datang adalah dari pelbagai latar belakang seperti pekerja asing, pelajar dan keluarga yang kehilangan pekerjaan kerana PKP 2.0.

“Kami tahu masa ini adalah sukar, itulah sebabnya kami berusaha sebaik mungkin sebagai keluarga untuk memainkan peranan kami dalam membantu mereka yang memerlukan,” kata Marissa.

“Sambutan luar biasa sehingga ada orang mula menghantar mesej kepada saya bertanya sama ada mereka boleh menyumbang juga.

“Buat masa ini kami tidak bersedia untuk itu kerana ia adalah tanggungjawab besar untuk urus wang orang lain.”

Keluarga beliau menghabiskan RM5,000 untuk membeli peruntukan yang diedarkan semalam.

Marissa berkata idea untuk usaha amal ini bermula daripada idea ibu bapanya, yang merupakan pengarah urusan sebuah syarikat pembangunan hartanah sementara ibunya, bekas profesor Bahasa Inggeris di sebuah universiti tempatan.

Beliau berkata keluarganya kemungkinan besar akan mengadakan satu lagi edaran makanan di tempat mereka pada minggu ini dan akan memastikan ia berjalan dengan lebih sistematik. – 31 Januari, 2021.

Iklan
Iklan