Iklan

Tablet habis stok kerana PdPR

Elill Easwaran4 years ago1st Feb 2021Berita
50889935432 130e3b4099 o
Ibu bapa lebih suka tablet berbanding komputer riba kerana ia lebih murah dan mudah dikendalikan, kata peniaga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Februari, 2021.
Iklan

STOK tablet di kedai barangan elektronik hampir habis setelah ibu bapa membeli bagi menampung Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk kegunaan anak-anak mereka, kata para peniaga.

Ibu bapa lebih suka tablet berbanding komputer riba kerana ia lebih murah dan lebih mudah dikendalikan untuk anak-anak mereka, ujar mereka.

Malah, peniaga juga memberitahu The Malaysian Insight, kumpulan sukarelawan turut membeli tablet dalam jumlah besar untuk disumbangkan kepada keluarga yang tidak mampu.

Sesi baharu pengajian bermula bulan ini dengan kelas dijalankan dalam talian kerana wabak Covid-19.

“Stok tablet kami hampir habis terutamanya minggu ini sebab kebanyakan pelanggan dah datang minggu lalu untuk beli buat anak-anak mereka sebab sekolah sudah bermula,” kata eksekutif penjualan Noriana Salleh dari sebuah kedai di Low Yat Plaza, pusat membeli-belah untuk peranti IT.

Beliau berkata, kekurangan itu sangat besar sehingga pelanggan tidak ada pilihan warna untuk jenis tablet yang mereka mahukan.

“Kami jual kira-kira 10 unit tab setiap hari. Akhirnya, ibu bapa terpaksa beli kotak peranti TV sebab tablet kami sudah habis.

“Harga tablet yang kami jual bawah RM1,000. Ia harga yang sangat berpatutan. Itu antara sebab kenapa terjual dengan cepat,” katanya.

Peniaga Noriana Salleh berkata, kekurangan stok sangat besar sehingga pelanggan tidak ada pilihan warna untuk jenis tablet yang mereka mahukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Februari, 2021.

Peruncit lain, Carmen Ooi berkata terdapat juga kumpulan masyarakat sivil yang membeli tablet dalam jumlah besar minggu lalu untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya dapat tempahan untuk lebih kurang 30 tablet, tetapi sampai kepada tahap yang saya tak dapat tunaikan sebab stok habis.

“Minggu ini saja, kami ada lebih kurang 300 unit pra-pesanan dari pelanggan walaupun kami tidak tahu bila stok baru akan sampai.

“Tablet kami rata-rata berharga RM400 hingga RM600 seunit. Ini antara paling murah dalam pasaran tablet,” katanya.

Carmen Ooi berkata, terdapat juga kumpulan masyarakat sivil yang telah beli tablet dalam jumlah besar minggu lalu untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Februari, 2021.

Peniaga, Ayden Chin berkata pelanggan lebih suka membeli tablet berbanding komputer riba kerana harganya berpatutan.

“Komputer riba paling murah harganya sekitar RM2,000 sedangkan tab paling murah hanya sekitar RM450,” kata Ayden.

Awal minggu ini pendakwah dan dermawan terkenal Ebit Lew memberikan 200 tablet kepada pelajar yang memerlukan di empat daerah di pantai timur Sabah.

Ahli Parlimen juga turut memberikan tablet kepada pelajar yang memerlukan di kawasan mereka. – 1 Februari, 2021.

Iklan
Iklan