Iklan

Kes rasuah beli asrama pelajar Mara di Australia ke mahkamah Jumaat ini, kata SPRM

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago3rd Feb 2021Berita
Dudley international house fb
Dudley International House ialah bangunan lima tingkat yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh Mara untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya. – Gambar Facebook, 3 Februari, 2021.
Iklan

AGENSI anti rasuah akan mendakwa seorang bekas pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd di mahkamah minggu ini berhubung pembelian hartanah di Melbourne, Australia untuk kegunaan asrama pelajar tajaan Mara, tujuh tahun lalu.

Ahli politik bergelar Datuk itu dijadual didakwa dengan 22 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan bekas pengerusi Mara Inc itu ditahan di ibu pejabat SPRM pada 11.30 pagi tadi.

“Individu itu akan dihadapkan ke mahkamah jenayah rasuah Jumaat ini dengan 22 pertuduhan rasuah,” katanya.

Beliau tidak mendedahkan nama bekas pengerusi itu sehingga pendakwaan dibuat di mahkamah.

Sementara itu, sumber SPRM memberitahu 22 pertuduhan itu melibatkan kesalahan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 atau Amla.

“Suspek lelaki berusia 65 tahun ini dikatakan telah menerima rasuah sebanyak RM33.45 juta hasil pembelian hartanah di Australia oleh Mara Inc,” kata sumber SPRM kepada The Malaysian Insight.

SPRM menyiasat kes pembelian Dudley International House pihak berkuasa di Australia mendakwa rakyat negara itu yang dituduh memberi rasuah kepada pegawai kerajaan Malaysia berhubung pembelian asrama berkenaan.

Pada Oktober 2020, Azam memberitahu media pihaknya sudah mendapat kebenaran peguam negara untuk meneruskan pendakwaan berhubung kes itu.

“Kita sudah siapkan kertas siasatan cuma TPR (timbalan pendakwa raya) sedang meneliti kes berkenaan dan jika dipersetujui, ada yang akan dituduh di mahkamah nanti. Adalah dua, tiga orang (akan didakwa),” katanya ketika itu, tanpa menyebut nama mereka yang terlibat.

Pada 2015, akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tertinggi Majlis Amanah Rakyat (Mara), seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne.

The Age mendakwa “sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya” terlebih bayar sebanyak AUS$4.75 juta (RM14.37 juta) bagi blok apartmen di bandar raya tersebut pada 2013. Wang yang terlebih bayar daripada harga belian A$17.8 itu dikatakan untuk rasuah di Malaysia.

Laporan sebelum ini juga menyebut Mara memperoleh bangunan lima tingkat Dudley International House seluas 30,279 kaki persegi selepas Mac 2013. Bangunan dengan 112 bilik asrama pelajar itu adalah untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaan Mara di Australia. – 3 Februari, 2021.

Iklan
Iklan