Iklan

Pemaju disaran semak dengan KPKT untuk elak lambakan hartanah

Yasmin Ramlan7 years ago29th Dec 2017Berita
Luxury property house condo nazir 03
Sehingga kini terdapat 130,000 hartanah tidak terjual di seluruh negara dengan sebahagian besar adalah pangsapuri jenis studio dan servis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2017.
Iklan

PEMAJU digesa merujuk kepada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mendapat maklumat lebih lanjut mengenai kawasan yang mempunyai lambakan hartanah, kata Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani.

Menurut Johari, ia untuk mengelakkan masalah lambakan hartanah yang dialami industri itu.

Menurut beliau, terdapat 130,000 hartanah tidak terjual di seluruh negara dan sebahagian besarnya adalah pangsapuri jenis studio dan servis.

“Jadi sebenarnya adalah menjadi kebaikan kepada para pemaju untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut di mana oversupply tersebut.

“Di seluruh negara, terdapat sebanyak 130,000 hartanah yang melibatkan pangsapuri jenis studio atau servis. Ia mempunyai oversupply yang banyak.

“Jadi, jika mana-mana pemaju yang nak tengok mana (kawasan hartanah yang) oversupply, available (boleh rujuk) pada KPKT,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran ePerolehan baharu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Bulan lalu, Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta & Perunding Harta Swasta Malaysia (Peps) berkata, antara punca pasaran hartanah tidak terjual adalah kerana pemaju “membazir” dalam membina manakala pembeli pula mencipta “permintaan palsu.”

Selain dua faktor itu, kekurangan pasaran dan kajian mengenai kebolehlaksanaan pembinaan, kurangnya koordinasi dikalangan pihak berkuasa tempatan dan kelulusan “asal boleh” memain peranan besar terhadap sekatan oleh Putrajaya.

Malah, kelewatan dalam mewartakan pelan juga penyebab kepada berlakunya pembangunan tak terkawal, selain kenaikan kos.

Tambah Peps, pembeli menambahkan lagi masalah dengan mencipta “permintaan palsu” kerana takut kehilangan hartanah pilihan. – 29 Disember, 2017.

Iklan
Iklan