Iklan

Bagaimana membayar budi hutang 1MDB?

The Malaysian Insight7 years ago29th Dec 2017Editorial
Iklan

BAYANGKAN begini.

Anda terbelit hutang dan bank menunggu masa untuk menyita rumah dan menjadikan anda bankrap. Semuanya nampak buntu sampailah tiba-tiba datang kawan yang setuju membayarkan dengan harga lebih tinggi sebidang tanah yang terletak jauh di ceruk entah di mana.

Pertolongan dermawan itu membantu anda melangsaikan semua hutang. Pertolongan itu menyelamatkan anda daripada jatuh bankrap atau jadi bahan ketawa. Akhirnya, anda boleh menarik nafas lega.

Tidakkah anda berterima kasih dan terhutang budi kepada kawan atau kenalan yang sudi membantu pada saat-saat terdesak seperti itu?

Sudah tentu anda berterima kasih.

Itulah sebab lebih baik diabaikan saja penafian begitu saja Menteri Kewangan Kedua Johari Ghani bahawa Malaysia tidak terhutang budi dengan China kerana membantu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaan Najib menyelesaikan hutang tertunggak dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) di Abu Dhabi.

Johari mungkin bercakap benar apabila mengatakan beliau tidak tahu-menahu butiran urus niaga melibatkan pembelian dua bidang tanah daripada 1MDB oleh dua entiti yang ada hubungan dengan syarikat berkait kerajaan China pada harga yang melampaui harga pasaran.

The Malaysian Insight minggu lalu melaporkan sebidang tanah di Pulau Indah di Selangor dibeli oleh entiti China tanpa menyebut harganya. Sekarang ini kita tahu harganya lebih RM500 juta.

Dalam bahasa mudahnya, pembeli ini setuju membayar duit sebanyak itu untuk membeli sebidang tanah yang 1MDB mungkin sudah terlebih bayar. Ini samalah seperti seseorang menawarkan membeli rumah anda yang berharga RM1 juta pada harga RM10 juta.

Hakikatnya, 1MDB bukan dalam keadaan kewangan yang baik untuk melangsaikan ansuran terakhir hutang AS$630 juta kepada IPIC. Penjualan hak sebagai pemaju utama Bandar Malaysia belum lagi berlaku. Oleh itu, 1MDB tidak dapat melunaskan ansuran akhir kepada IPIC.

Sekiranya dua entiti China itu tidak tampil membeli dua bidang tanah dari 1MDB pada harga yang sangat melampau, syarikat Kementerian Kewangan itu mungkin akan tersangkut daripada menunaikan hutangnya kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi.

Kesan kegagalan membayar hutang itu tentulah timbang tara atau prosiding mahkamah, kedua-duanya akan mencemar dan menyakitkan bagi Perdana Menteri Najib Razak, 1MDB dan Malaysia.

Senario yang merosakkan itu dapat dielak, terima kasih kepada campur tangan dermawan dua entiti yang ada kaitan dengan kerajaan China.

Makanya, apakah kerajaan Malaysia dan pimpinan tingginya terhutang budi kepada China? – 29 Disember, 2017.

Iklan
Iklan