Pandemik tidak hakis adat, tradisi Cina, kata pemimpin masyarakat
Iklan
ADAT dan tradisi Cina, termasuk perayaan Tahun Baru Cina yang bakal diraikan sebahagian besar warga Malaysia tidak akan terhakis selamanya susulan norma baharu akibat pandemik Covid-19, kata anggota masyarakat Cina.
Mereka berkata bahawa perayaan yang diraikan dalam talian dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat hanyalah langkah sementara ketika wabak tersebut melanda negara ketika ini.
Adat dan tradisi masyarakat Cina akan terus dipelihara dan diamalkan selepas virus itu dapat dikekang, tambah mereka lagi.
Di bawah SOP Tahun Baru Cina yang diumumkan kerajaan, persembahan tarian singa adalah dilarang sepanjang perayaan Tahun Baru Cina tahun ini. Makan besar dan pertemuan keluarga juga adalah terhad.
Sepanjang tahun lalu, banyak perayaan keagamaan dan budaya tidak disambut seperti sebelum ini dengan SOP ketat perlu dipatuhi, ia adalah demi membendung penularan Covid-19.
Presiden Junior Chamber International (JCI) Kuala Lumpur Chong Hian Loong berkata banyak aktiviti kelab tu diubah menjadi aktiviti dalam talian, termasuk festival dan perayaan.
Semasa Festival Perahu Naga tahun lalu, JCI KL Mandarin - gerakan akar umbi anak muda - mengadakan bengkel bagaimana membuat ladu beras pulut, hidangan tradisional Cina yang diperbuat daripada beras pulut yang diisi dengan pelbagai jenis inti dan dibungkus dengan daun buluh.
Walaupun musim perayaan dirasakan dingin dan tidak meriah, para peserta merasakan kemeriahannya walaupun melalui acara-acara dalam talian, katanya lagi.
Pada tahun ini, JCI KL Mandarin mengedarkan pelitup muka dan cecair sanitasi tangan kepada warga emas dan berkempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan diri ketika melakukan persiapan perayaan Tahun Baru Cina.
Orang Cina akan tetap raikan Tahun Baru Cina
Bekas timbalan pengarah Pusat Pengajian Cina Malaysia, Tang Ah Chai memberitahu The Malaysian Insight bahawa Malaysia adalah salah satu negara terbaik dalam memelihara adat dan ritual tradisional.
Beliau yang aktif terlibat dalam penyelidikan sejarah Cina Malaysia, berkata bahawa Festival Menyapu Makam (festival Qingming) turut dilakukan dalam talian pada tahun lalu untuk pertama kalinya dalam sejarah.
Beliau menegaskan bahawa orang Cina menyukai hidup dan perayaan yang diraikan bersama-sama. Bagi orang Cina, berkumpul bersama adalah satu adat tradisi, sama ada pada waktu gembira atau sedih, tambahnya.
“Saya percaya setelah wabak ini reda, perayaan dalam talian akan kembali diraikan di luar talian,” kata Tang.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Tan Yew Sing berkata bahawa masyarakat ketika ini bergerak laju untuk pendigitalan, menurutnya hal tersebut adalah satu perkara yang baik dan perkembangannya tidak dapat dihentikan.
Semasa Festival Pertengahan Musim Gugur yang lalu, ahli keluarga di Malaysia bertemu dengan saudara mereka di luar negara untuk meraikan percutian melalui video.
“Festival dalam talian memberi kemudahan dan alternatif ketika menghadapi wabak ini.
“Perayaan dan adat tradisional tidak akan hilang dengan pemeliharaan budaya dan nilai tradisional melalui dunia digital.
“Apa yang kurang ketika ini hanyalah upacara istiadat dan berkongsi makanan.”
Beliau percaya festival dalam talian ketik ini hanya bersifat sementara. Persatuan dan dewan perniagaan akan kembali mengadakan aktiviti festival tradisional selepas wabak ini berjaya dikekang, tambahnya lagi. – 8 Februari, 2021.