Iklan

Pakar kesihatan, persatuan pengguna tolak cadangan makan di restoran

Aminah Farid4 years ago8th Feb 2021Berita
50512153838 4a63c38e16 b
Pelanggan akan sukar patuh SOP kerana mereka tidak dapat pakai topeng pelitup muka ketika makan di restoran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2021.
Iklan

MEMBENARKAN pelanggan makan di restoran akan mencetuskan kewujudan kluster baharu Covid-19 kerana amat sukar untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sedang makan, kata pakar epidemiologi Dr Awang Bulgiba.

Beliau berkata tidak dapat memakai topeng pelitup muka ketika makan dan kesukaran menguatkuasakan had masa untuk pelanggan di restoran akan bermakna mereka lebih terdedah kepada virus itu.

“Kurangnya kluster daripada restoran mungkin kerana pelanggan tidak dibenarkan makan di situ, jadi dengan membenarkan pelanggan makan di premis, maka akan mewujudkan kluster. Jadi dalam kata lain, ia jadi seperti situasi ayam dan telur,” kata pakar kesihatan itu.

“Masalah apabila makan di restoran dibenarkan ialah kesukaran mematuhi SOP ketika makan. Bila makan, kita tidak boleh pakai topeng dan orang ramai akan pasti ambil masa lebih lima minit untuk makan.

“Ini bermakna mereka akan terdedah bagi tempoh lama kerana sukar untuk menguatkuasakan had masa untuk pelanggan di restoran,” katanya.

Dr Awang berkata penjarakan sosial juga sukar dilaksanakan.

Katanya, jika seseorang cuba mengukur jarak 1 meter, ia akan jadi terlalu jauh untuk kebanyakan pelanggan duduk terpisah terutama jika restoran itu kecil.

“Seseorang tidak boleh duduk terlalu dekat tanpa topeng pelitup muka bagi tempoh panjang terutama dengan penularan jangkitan dalam masyarakat yang sedang berlaku sekarang.

“Ada perbalahan tentang jumlah pelanggan bagi setiap meja, contohnya berapa ramai dibenarkan. Jadi nanti akan jadi masalah bila tiada siapa patut garis panduan,” katanya.

Katanya, akan wujud kesukaran untuk memastikan aliran udara di restoran untuk mengelak jangkitan berlaku.

CAP berkata arahan hanya perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran makanan dibenarkan di seluruh negara, patut dikekalkan sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2021.

Beliau berkata membenarkan pelanggan makan di restoran ketika terlalu banyak kes dalam masyarakat sangat berisiko tinggi kerana ia akan meningkatkan kadar kontak dan akhirnya menyebabkan banyak jangkitan baharu.

“Perkhidmatan bawa pulang masih lebih baik berbanding makan di restoran,” katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Sabtu berkata ia akan menghantar permohonan untuk pelanggan dibenarkan makan di restoran ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Timbalan menterinya, Rosol Wahid berkata permohonan itu akan dihantar kepada Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak lama lagi.

Rosol berkata permohonan untuk kebenaran makan di restoran dibuat bagi kebajikan premis makanan dan pengendali trak makanan, serta pekerja, pembekal dan pemborong makanan, serta semua yang terbabit dalam industry itu.

Katanya, pemilik premis dan trak makanan berjanji untuk mematuhi semua SOP ditetapkan MKN jika pelanggan dibenarkan makan di situ.

Kebimbangan Dr Awang turut disokong oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang berkata ia tidak dapat menjamin SOP akan dipantau secara ketat jika pelanggan dibenarkan makan di premis.

Presidennya, Mohideen Abdul Kadir berkata ia tidak sepatutnya dibenarkan kerana kadar jangkitan tidak akan turun.

“Maka arahan untuk tidak dibenarkan makan di restoran patut dikekalkan di seluruh negara,” katanya.

Malaysia semalam merekodkan 3,731 kes baharu Covid-19 dengan 15 kematian. – 8 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan