Rakyat Malaysia masih bercuti, tapi dengan bajet kecil
Iklan
RINGGIT yang lemah dan kenaikan kos sara hidup tidak menyekat rakyat Malaysia yang gemar melancong untuk memansuhkan waktu bercuti mereka, tetapi ramai memilih alternatif lebih murah bagi menikmati musim percutian.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Tan Kok Liang berkata sementara percutian domestik kekal tidak berubah, rakyat Malaysia kini meninjau destinasi antarabangsa yang dekat, seperti negara jiran di Asia Tenggara.
“Sama seperti di kebanyakan tempat, kita di Malaysia juga memotong bajet pembelian barangan dan memberi keutamaan kepada percutian, melancong sekali atau dua kali dalam setahun,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Sementara kita bimbang dengan keadaan sekarang dan berharap masa depan lebih baik, kehidupan masih perlu diteruskan. Mereka ubah suai keadaan mengikut bajet percutian, dan juga gaya hidup.”
Katanya, selain Asia Tenggara, China juga destinasi percutian yang popular.
Menurut laporan Mastercard awal tahun ini, jumlah perjalanan luar negara rakyat Malaysia direkodkan sebanyak 11.9 juta pada 2016 dan diramalkan angka akan meningkat dengan purata 3.5% setahun, mencecah 14.2 juta perjalanan menjelang 2021.
Laporan Future of Outbound Travel in Asia-Pacific (2016 hingga 2021) berkata Malaysia dijangka merekodkan nisbah perjalanan antarabangsa berhubung dengan jumlah keseluruhan isi rumah pada 198.7% menjelang 2021, daripada 178.4% pada 2016.
Malaysia merekodkan nisbah tertinggi di kalangan pasaran mula berkembang, dan keempat tertinggi selepas Singapura, Hong Kong dan Taiwan.
Sementara itu, kaji selidik dijalankan Tune Protect Group Bhd yang dikeluarkan pada Februari tahun ini mendedahkan yang sembilan daripada 10 rakyat Malaysia memilih percutian menjimatkan, pergi ke destinasi dekat, di mana nilai ringgit lebih tinggi.
“Tempoh percutian lebih tinggi maksudnya ke destinasi dalam rantau Asean,” kata kaji selidik itu.
Percutian secara berkumpulan atau mendaftar dengan pakej berkumpulan juga mengurangkan kos, bagi sesetengah keluarga di Malaysia.
Rosalinda Abu Said, 32, berkata keluarganya lebih gemar menyertai percutian berkumpulan kerana ia akan membantu mengurangkan kos untuk bercuti bagi seisi keluarga.
“Suami saya ada tujuh adik-beradik dan mereka akan menganjurkan percutian berkumpulan untuk semua.
“Baru-baru ini kami bercuti di Thailand. Kami ke Hat Yai dan Songkhla selama tiga hari dua malam, dan berbelanja kira-kira RM2,000.
“Kami tempah dua bas supaya keluarga sebanyak hampir 80 orang boleh turut serta,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata rancangan percutian akan dibincangkan seawal lapan bulan sebelum perjalanan, bagi memastikan semua orang mempunyai masa mencukupi untuk menyimpan wang.
“Kalau tidak, kami akan bercuti di dalam negara saja, kerana ia lebih murah,” katanya.
Bercuti ketika bukan musim waktu puncak juga antara strategi bagi rakyat Malaysia yang gemar bercuti dengan bajet rendah.
Faizah Azmi, 32, berkata keluarganya memilih percutian singkat ke destinasi yang dekat, dan biasanya ketika bukan musim cuti.
“Memandangkan anak-anak saya masih belum bersekolah, kami tidak perlu bercuti ketika cuti sekolah.
“Dan saya tidak suka membawa anak ke luar negara kerana persekitaran yang asing. Mungkin apabila mereka besar sikit, kami akan pertimbangkan,” katanya, menambah biasanya akan menghabiskan kira-kira RM800 untuk bercuti.
Menurut Jabatan Statistik, jumlah percutian domestik meningkat 8% daripada 235.2 perjalanan pada 2015, kepada 253.9 juta tahun lalu.
Lima faktor utama untuk bercuti dalam negara ialah: melawat saudara dan rakan (43.6%), membeli-belah (33.1%), berehat (11.4%), berhibur atau menghadiri majlis khas (4%) dan mendapatkan rawatan perubatan (3%).
Lima negeri yang paling banyak menerima pelancong domestik tahun lalu ialah Selangor (24 juta), Perak dan Kuala Lumpur (16.8 juta), Sabah (16.5 juta) dan Sarawak (16.3 juta).
Perbelanjaan pelancongan domestik juga menjana pendapatan RM66.5 bilion tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan 189.3 pelancong direkodkan, pertumbuhan 7% berbanding 176.9 juta pada 2015. – 30 Disember, 2017.