Iklan

Putrajaya lambat benarkan kedai pakaian dibuka, kata peniaga

Khoo Gek San4 years ago11th Feb 2021Berita
49931394968 8830660cc2 c
Sehingga kini sektor runcit berdepan kerugian sekitar RM150 juta sejak PKP 2.0 dikenakan dari 13 Januari sehingga 18 Februari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.
Iklan

KEPUTUSAN Putrajaya untuk membenarkan kedai pakaian dibuka semula bermula semalam agak lewat bagi pemain industri yang mempunyai stok bernilai sekitar RM1 bilion untuk dihabiskan hanya dalam masa dua hari sebelum perayaan Tahun Baharu Cina pada 12 Februari ini.

Pengerusi Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA), Tan Thian Poh berkata sektor itu sebenarnya mendapat lampu hijau dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk dibuka semula pada 5 Februari tetapi birokrasi kerajaan menyebabkan pengumuman itu dibuat pada 9 Februari.

“Kini peruncit perlu menjual dengan potongan harga yang besar bagi menghabiskan stok mereka dan mengatasi kerugian yang dihadapi mereka.

“Kami mempertimbangkan untuk membuka pada hari pertama Tahun Baru Cina (pada Jumaat) tetapi perbelanjaan untuk ini tinggi.

Sehingga kini sektor runcit berdepan kerugian sekitar RM150 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikenakan dari 13 Januari sehingga 18 Februari, kata Tan.

“Kerajaan seolah-olah tidak memahami bagaimana peruncit dan sektor pakaian beroperasi. Mereka berpendapat bahawa kita hanya dapat mengubah jualan secara dalam talian tetapi ini tidak dapat selalu dilaksanakan (untuk sesetengah orang) kerana kebiasaan pengguna.

“Peruncit yang sudah mempunyai platform dalam talian hanya mampu menjual sekitar 2% sehingga 3% stok mereka. Apa yang harus mereka lakukan dengan 95% bekalan mereka yang masih ada?” soal Tan yang juga Presiden Persatuan Pengilang Tekstil Malaysia.

Bekalan bernilai kira-kira RM1 bilion dibeli oleh pemain industri kira-kira sebulan sebelum Tahun Baru Cina. Beberapa barang termasuk pakaian bertema lembu tetapi Tan menambah bahawa mereka yang tidak menyambut perayaan itu juga biasanya mengambil kesempatan untuk membeli pakaian baharu.

Bekalan baru pakaian sambutan Tahun Baharu Cina yang perlu dijual dengan potongan harga lebih tinggi adalah dengan motif lembu, sementara yang lain masih boleh dijual pada Mac dan April.

Penutupan kedai pakaian semasa PKP juga memberi kesan kepada pihak lain dalam industri pakaian seperti pembungkusan, kata Tan.

Sektor yang berkaitan juga mengalami kerugian sekitar RM150 juta sehari kerana kos dan perbelanjaan yang berterusan walaupun kedai ditutup.

“Secara keseluruhan kami dilarang beroperasi selama sekitar sebulan. Dengan andaian bahawa gaji di sektor ini berjumlah RM50 juta dan menyewa RM50 juta lagi, sektor ini telah kehilangan RM3.1 bilion pada bulan lalu,” katanya.

Tan berkata sektor pakaian merupakan komponen besar dalam ekonomi kerana mempunyai pekerja sekitar 500,000 orang dan menjual produk bernilai sekitar RM55 bilion setahun.

“Sekiranya sektor ini runtuh, bukan hanya runcit tetapi sektor berkaitan di sepanjang rantaian bekalan dan pengedaran juga akan terjejas,” katanya.

Peruncit perlu menjual dengan potongan harga yang besar bagi menghabiskan stok mereka sebelum perayaan Tahun Baru Cina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.

Tan juga mempersoalkan keputusan kerajaan di bawah PKP 2.0 untuk menutup kedai pakaian tetapi membenarkan kedai barang kemas, kedai mainan dan peruncit jenis barang lain beroperasi.

Sekarang kedai pakaian boleh dibuka, meeka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang harus diikuti termasuk menyediakan sarung tangan sekali pakai kepada pelanggan.

Namun pelanggan tidak akan dibenarkan mencuba pakaian.

Tan berkata syarat baharu untuk sarung tangan pakai buang kini menyaksikan kira-kira 50,000 peruncit pakaian di negara ini berusaha untuk mendapatkannya dan bimbang kekurangan bekalan.

“Kami bersedia mengikut SOP tetapi kami memerlukan dua minggu untuk mengikut aturan yang diperlukan,” katanya.

Presiden Gabungan Penjaja dan Persatuan Peniaga Kecil Yow Boon Chuan berkata peniaga kecil yang menjual pakaian tahun baharu di pasar malam paling terjejas.

Mereka cenderung membeli pakaian bertema setiap tahun mengikut zodiac haiwan.

Yow berkata beberapa peniaga kecil berusaha menjual pakaian bertema lembu secara dalam talian tetapi sambutan kurang menggalakkan.

“Mereka tidak akan dapat menghabiskan bekalan dan kemungkinan tidak akan pulih dari kerugian ini,” katanya.

Peniaga ini tidak dapat membayar hutang dan berisiko muflis, katanya.

Presiden Persatuan Penjaja Pulau Pinang Ooi Thean Huat berkata peniaga akan menjual sebanyak mungkin sebelum perayaan Tahun Baharu Cina.

“Dua hari ini sangat penting bagi peniaga kecil kerana pakaian tidak lagi sesuai dipakai selepas Tahun Baharu Cina.

“Kedai pakaian hanya boleh dibuka pada 10 Februari dan pada siang hari 11 Februari. Selepas itu mereka akan tutup untuk perayaan. Biasanya mereka akan dibuka lagi pada hari ketiga atau keempat Tahun Baharu Cina tetapi pada masa itu pakaian itu tidak lagi dapat dijual,” katanya.

Presiden Persatuan Penjaja Kuala Lumpur Lim Suai Chai berkata beberapa peniaga kecil terdesak semasa PKP serta secara sembunyi membuka gerai dengan sebilangan daripada mereka ditangkap oleh pihak berkuasa

Lim juga berkata dengan bajet yang agak ketat kerana ekonomi dilanda wabak, orang ramai kebanyakannya membeli biskut dan makanan ringan pada musim ini bukannya pakaian baharu. – 11 Februari, 2021.

Iklan
Iklan