Iklan

Aktiviti memancing, operasi sekolah memandu dibenarkan, kata Ismail Sabri

Elill Easwaran4 years ago11th Feb 2021Berita
Kluangfishingvillage pg dloh2-0888
Sebelum ini, hanya nelayan yang dibenarkan melakukan aktiviti menangkap ikan tetapi kini individu-individu yang ingin memancing sebagai hobi juga turut dibenarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.
Iklan

KERAJAAN membenarkan aktiviti rekreasi seperti memancing, dan operasi institusi kelas memandu dan akademi penerbangan mulai esok, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, hanya nelayan yang dibenarkan melakukan aktiviti menangkap ikan tetapi kini individu-individu yang ingin memancing sebagai hobi juga turut dibenarkan, katanya dalam sidang media hari ini.

“Menutup premis ini telah mempengaruhi perniagaan seperti pengkalan bot, itulah sebabnya kami benarkan ia beroperasi semula.

“Sanitasi premis-premis ini juga mesti dilakukan setiap dua jam dan waktu operasi bermula dari 8 pagi hingga 10 malam.

“Untuk bot, mereka boleh memuatkan penumpang dengan kapasiti 50% dan pengendalinya mesti menyediakan cecair pembasmi kuman dan juga kod MySejahtera,” katanya.

Mengenai institusi memandu, menteri pertahanan itu berkata mereka diizinkan beroperasi mulai esok berikutan pembentangan oleh Kementerian Pengangkutan  mengenai perkara itu.

“Institut memandu akan dibenarkan beroperasi dan akan diminta untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat oleh kakitangan dan juga calon pemandu,” katanya.

Di bawah kebenaran ini, kelas dan ujian kelayakan memandu dan juga sesi praktikal akan dibenarkan.

Waktu operasi pula ditetapkan dari 7.30 pagi hingga 8 malam dan penggunaan pelitup muka oleh jurulatih serta pelatih adalah wajib, katanya. – 11 Februari, 2021.

Iklan
Iklan