Iklan

Dr Mahathir minta maaf

Radzi Razak7 years ago30th Dec 2017Berita
Bersatu agm 301217 tmiseth 13
Dr Mahathir memohon maaf atas semua kesilapannya sepanjang menjadi ahli politik didepan 1,300 perwakilan dan pemerhati pada Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu hari ini di Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Disember, 2017.
Iklan

PENGERUSI Bersatu, Dr Mahathir Mohammad akhirnya memohon maaf atas semua kesalahan beliau sepanjang menjadi ahli politik.

Dalam ucapan sulung di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu, Dr Mahathir, bekas perdana menteri selama 22 tahun mengaku di hadapan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan lebih seribu perwakilan parti bahawa beliau hanyalah “insan biasa.”

“Saya, seperti manusia lain tidak mungkin sunyi dari berkata dan melakukan kesalahan bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.

“Saya pohon maaf terhadap apa jua kesalahan saya selama ini,” kata beliau di hadapan 1,300 perwakilan dan pemerhati Bersatu, pemimpin parti dalam PH serta NGO dalam dan luar negara di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun Dr Mahathir tidak menyatakan secara khusus kesalahan yang pernah dilakukannya itu.

Pelbagai pihak termasuk sekutunya dalam Pakatan Harapan sekarang, pernah mengkritik Dr Mahathir yang langsung tidak mahu mengulas tanggungjawabnya dalam pelbagai perkara yang berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri termasuklah tragedi Operasi Lalang 1988 dan penyingkiran Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Dalam ucapannya hari ini, Mahathir turut menyeru agar ahli Bersatu mengetepikan perasaan masing-masing dan membantu semua parti komponen PH untuk menang.
“Jika kita PPBM (Bersatu) tidak sokong calon Pakatan Harapan, jangan harap calon PPBM (Bersatu) akan dapat sokongan dari tiga buah parti lain,” katanya.

Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu hari ini dihadiri kira-kira 1,300 perwakilan dan pemerhati, ia dijalankan selepas parti itu menerima amaran RoS yang pendaftarannya mungkin terbatal kerana gagal menjalankan AGM setahun selepas penubuhan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Disember, 2017.

Permohonan maaf itu timbul selepas Dr Mahathir dicalonkan untuk menjadi perdana menteri sementara PH sekiranya pembangkang berjaya menakluk Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pencalonan berkenaan belum diputuskan secara rasmi setakat ini dan masih dianggap sebagai isu sensitif di kalangan parti PH.

Pencalonan itu sudahpun dipersetujui DAP, Bersatu dan Amanah, manakala PKR pula menyatakan persetujuan bersyarat.

Bersatu semalam mahu perbincangan berkenaan dibuat secara tertutup dan diterima semua dalam PH  sebelum diumumkan kepada awam.

Perwakilan memberi sokongan penuh dan turut menjerit “Hidup Tun!” dan memberi tepukan gemuruh beberapa kali dalam ucapan beliau 

Turut hadir hari ini ialah Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohammad Sabu dan Pengerusi DAP Tan Kok Wai serta pemimpin lain PH. – 30 Disember, 2017.

Iklan
Iklan