Bersatu sokong Dr Mahathir pimpin kerajaan Pakatan
Iklan
PARTI Bersatu menyuarakan sokongan penuh ke atas cadangan agar Dr Mahathir Mohamad memainkan peranan utama kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kelak.
Dalam ucapan pembukaan di Mesyuarat Agung Tahunan pertama Bersatu di Shah Alam, presidennya Muhyiddin Yassin berkata langkah itu diyakini akan dapat meletakkan Malaysia kembali di landasan betul, berdasarkan pengalaman bekas perdana menteri itu.
“Bagi pihak Bersatu saya ingin menyatakan sokongan kita yang tidak berbelah bahagi kepada Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi Bersatu dan Pengerusi PH untuk memainkan peranan utama dalam barisan kepimpinan PH.
“Kita tidak ragu- ragu bahawa Tun (Mahathir) bersama-sama dengan pimpinan PH akan meletakkan Malaysia kembali di landasan yang betul dan sekali lagi memimpin negara kita menuju gerbang kegemilangan,” kata Muhyiddin.
Pengumuman Muhyiddin itu disambut dengan sorakan gembira kira-kira 1,300 orang para perwakilan yang turut bangun sebagai tanda sokongan pada Dr Mahathir.
Muhyiddin juga berkata, parti itu berharap agar PH mengumumkan barisan pemimpin yang bakal mengetuai kerajaan PH selepas rundingan selesai.
Katanya langkah itu penting kerana rakyat ingin melihat barisan kepimpinan utama gabungan parti yang akan mentadbir kerajaan.
Pada masa sama beliau juga menyeru sudah tiba masanya PH mengumumkan manifestonya.
“Sekarang juga adalah masanya untuk PH mengumumkan manifesto nasional dan juga tawaran baharu untuk rakyat Sabah dan Sarawak,
“Serta negeri - negeri di Semenanjung yang akan mengujakan rakyat. Manifesto ini boleh kita umumkan secara berperingkat
“Saya pasti rakyat ingin tahu apa yang PH boleh tawarkan kepada mereka jika kita diberi mandat dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Muhyiddin.
Dr Mahathir dicalonkan untuk menjadi perdana menteri sementara PH sekiranya pembangkang berjaya menakluk Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pencalonan berkenaan belum diputuskan secara rasmi setakat ini dan masih dianggap sebagai isu sensitif di kalangan parti PH.
Pencalonan itu sudahpun dipersetujui DAP, Bersatu dan Amanah, manakala PKR pula menyatakan persetujuan bersyarat.
Bersatu semalam mahu perbincangan berkenaan dibuat secara tertutup dan diterima semua dalam PH sebelum diumumkan kepada awam.
Turut hadir hari ini ialah Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohammad Sabu dan Pengerusi DAP Tan Kok Wai serta pemimpin lain PH. – 30 Disember, 2017.