4 lelaki ditembak mati ada kaitan kes samun, kata polis
Iklan
EMPAT lelaki warga asing ditembak mati dalam kejadian di Batu Pahat awal pagi ini berkaitan dengan kegiatan jenayah samun berkumpulan, kata Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ayob berkata sepasukan polis menemui empat suspek dalam keadaan mencurigakan sewaktu kejadian di Jalan Pagoh-Parit Sulong pada jam 3.14 pagi ini.
“... (Pasukan polis) melihat sebuah kereta Toyota Avanza dan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila pihak polis cuba rapat untuk membuat pemeriksaan, tiba-tiba penumpang Toyota Alza bertindak agresif mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis,” katanya.
Dalam sidang media disiarkan secara langsung melalui Facebook itu, Ayob berkata seorang pegawai polis cedera pada tangan dan jaket perisai dipakainya juga koyak terkena tikaman kerambit.
“Bagi mempertahankan diri polis melepaskan tembakan terhadap semua penjenayah,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati semua penjenayah tidak memiliki pengenalan diri dan pemeriksaan di tempat kejadian dan dalam bonet kereta menemukan beberapa senjata.
Ia termasuk sepucuk revolver hitam berisi enam kelongsong peluru, empat peluru jenis .38 SPL, dua bilang parang dan satu pisau kerambit.
“Kami turut menemui beberapa peralatan pecah rumah dan beg pakaian. Kereta Perodua Myvi tersebut disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu dan didapati hilang di Desa Cemerlang, Seri Alam,” katanya.
Tindakan itu melibatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinnjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat
Menurutnya, polis percaya semua penjenayah tersebut terlibat dalam kes samun terutama kejadian pecah kilang dan pejabat sekitar Johor.
“Kita yakin kumpulan ini bukan sahaja bergerak aktif di Johor tetapi juga di negeri lain. Mungkin kita kenal dapat kenal pasti identiti suspek menerusi cap jari mereka sama ada sama dengan kesan cap jari di kilang yang disamun,” katanya.
Ayob berkata, bedah siasat suspek akan dilakukan di hospital Kluang dan pihak polis akan menjalankan siasatan sama ada mempunyai kaitan dengan kumpulan lain atau mempunyai saki baki ahli yang masih bebas.
“Semua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan dipercayai warga asing, berusia antara 23 hingga 40 tahun.
“Kami masih menyiasat identiti sebenar suspek,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba membunuh dan Seksyen 186 kanun yang sama kerana menghalang tugas penjawat awam.
Menurut Ayob, sebanyak 13 kes dan 17 kes pecah masuk pejabat dan kilang dilaporkan berlaku di Batu Pahat sejak 2019 dengan anggaran kerugian sebanyak RM350,000. – 12 Februari, 2021.