Iklan

Ibupreneur bantu kaum ibu jana pendapatan buat kek, kuih

Aminah Farid4 years ago13th Feb 2021Berita
Founders
Ibupreneur dicipta dengan tujuan utama membantu kaum ibu menjadi mandiri secara kewangan dan juga kepuasan hati. – Gambar Ibupreneur, 13 Februari, 2021.
Iklan

IBUPRENEUR, sebuah syarikat sosial membantu kaum ibu, telah menjadi batu loncatan buat ketua isi rumah wanita terjejas bagi menjana pendapatan mapan melalui pembuatan kek dan kuih.

Diilhamkan oleh empat ibu yang terpaksa berjuang walaupun menghadapi detik kesukaran, Aida Zunaidi telah mengasaskan Ibupreneur pada 2019 dengan niat untuk membantu meningkatkan kehidupan ibu-ibu ini.

“Saya diperkenalkan dengan wanita yang luar biasa, Ely, ibu tunggal berusia 60-an, yang telah berjuang dalam hidup dengan kesihatan yang teruk dan kehilangan orang yang disayangi, tetapi dia masih bertahan dalam kehidupan seharian dan perniagaannya.

“Motivasi utamanya adalah anak perempuannya yang berusia lapan tahun. Dia juga menghasilkan kek lapis yang sedap dan menarik. Saya nak kongsi bakat dan warisannya itu dengan semua orang,” kata Aida kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, tiga ibu yang lain juga mempunyai kisah sama; mereka berbakat, kuat semangat, namun kurang arif tentang cara menjalankan perniagaan tradisional mereka dengan kaedah moden, seperti e-dagang, pemasaran digital, dan penjenamaan. Di sinilah Ibupreneur memainkan peranan.

“Fokus kami adalah membantu ibu-ibu yang mudah terjejas dan perlu bergantung kepada kewangan, sama ada ibu tunggal, B40, penganggur, pesara dengan simpanan yang kurang,” katanya.

Aida dan dua rakan lain merasakan perlu untuk membina platform di mana kaum ibu yang tidak bekerja dan tinggal di rumah dapat menjual barang bakar mereka dan dalam masa sama dapat menjana pendapatan.

“Kami tolong mereka ini tanpa tengok jauh-jauh. Pertama, kami mula dengan orang-orang yang dekat, yang boleh dapat manfaat dari kami, kemudian kami bekerja dengan rakan kongsi seperti Sunway Education Group yang ada data wanita B40 ketika program perkongsian Dapur Sosial kami atau dengan IbuPJ atau MBPJ yang mempunyai akses data kepada ibu tunggal.

“Kami merekrut kaum ibu berdasarkan bakat mereka, produk unik apa yang dapat mereka hasilkan. Kemudian kami tengok kemahiran dan sikap keusahawanan mereka, dorongan untuk mencipta produk dan daya tahan mereka,” katanya.

Aida Zunaidi mengasaskan Ibupreneur pada 2019 dengan niat untuk membantu meningkatkan kehidupan kaum wanita. – Gambar Ibupreneur, 13 Februari, 2021.

Aida berkata, memandangkan ibu-ibu ini sudah mahir, apa yang diperlukan semasa mereka direkrut adalah sedikit kemahiran teknikal mereka.

Sebelum Covid-19, Ibupreneur bekerjasama dengan Sunway Education Group di The Social Kitchen, di mana ibu-ibu diajar oleh jurumasak pastri yang telah memenangi anugerah. Namun, kelas itu dihentikan kerana pandemik.

“Kami hantar mereka ke kursus pengendalian makanan untuk amalan kebersihan bagi memastikan mereka selamat dan memenuhi syarat Kementerian Kesihatan sebelum kami tolong masyarakat juga,” katanya.

Sehingga hari ini, Ibupreneur telah membantu sembilan orang ibu, yang pada 2021 telah menghasilkan RM700 hingga RM800 setiap minggu. Aida berkata matlamat mereka adalah untuk memastikan ibu-ibu ini memperoleh minimum RM2,500 setiap bulan.

“Kami ada sembilan ibu dengan 78 produk. Mereka pakar dalam operasi, pengembangan produk; sementara kami memberi tumpuan kepada penjenamaan, pemasaran, dan pengembangan perniagaan bagi memastikan mereka dapat jana pendapatan yang konsisten agar mereka bebas dari segi kewangan.”

Aida berkata 60% dari penjualan mereka pergi ke ibu, sementara baki 40% lagi digunakan untuk menyokong Ibupreneur dari segi penjenamaan, pemasaran, dan pengembangan perniagaan.

Sejak penubuhan, Ibupreneur telah menjana lebih dari RM80,000.

“Secara kewangannya, kami masih bebas dan mapan buat masa ini. Sehingga kini, kami telah menjana 11 kali lebih banyak daripada modal awal, yang membolehkan kami mengoperasikan model perniagaan semasa berdasarkan untung rugi/wang tunai yang kami hasilkan.

“Modal yang ada juga bertambah tujuh kali ganda, tapi kami selalu melabur semula 100% keuntungan kembali ke Ibupreneur bagi menghasilkan kesan yang lebih.

“Tahun ini, kami berhasrat untuk memperoleh enam kontrak niaga-ke-niaga (b2b) setiap suku tahun dengan sasaran masing-masing RM5,000 hingga RM6,000 sebulan. Waktu kami cipta permintaan, kami boleh rekrut ramai lagi ibu, perluaskan lagi rangkaian produk kami, dan memastikan skala berterusan untuk Ibupreneur.” – 13 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan