Iklan

Tolong benarkan kami beroperasi, kata pemilik ruang acara

Elill Easwaran4 years ago16th Feb 2021Berita
Brick
Pemilik ruang acara rayu dibenarkan meneruskan perniagaan sepanjang PKP dengan pematuhan SOP Covid-19. – Gambar Instagram Brickhouse, 16 Februari, 2021.
Iklan

PEMILIK ruang acara merayu kepada Putrajaya supaya membenarkan mereka mengadakan majlis berskala kecil sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memastikan kelangsungan perniagaan kerana larangan dikenakan sangat menjejaskan mereka.

Mereka turut mempersoalkan mengapa acara diharamkan sedangkan kerajaan membenarkan perniagaan berorientasikan orang ramai yang lain beroperasi, termasuk pasar malam dibuka dengan syarat mematuhi protokol kesihatan.

“Kerajaan perlu adil dan membenarkan kami beroperasi.

“Kami akan dapat mengawal jumlah khalayak di bawah SOP, sama seperti bagaimana pasar malam beroperasi,” kata Adam Scott yang mempunyai ruang acara dengan nama “We Are House Event” di Subang Jaya, Selangor.

“Saya hilang lebih 80% pendapatan sepanjang tahun lalu, dan mendapat sedikit pendapatan ketika kami dibenarkan menyambung operasi dari Julai ke September 2020 dan Disember 2020 ketika PKP bersyarat (PKPB).

“Sewa untuk ruang acara saya kira-kira RM3,500 sebulan dan walaupun pemiliknya memberikan sedikit diskaun, saya masih perlu membayarnya jumlah potongan itu sebaik saja perniagaan bersambung semula.

“Selain sewa, saya perlu membayar bil utility dan komitmen yang masih ada,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, beliau terpaksa beralih kepada perniagaan penghantaran makanan secara online untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Untuk mengekalkan perniagaan ruang acara ini, kami pada masa ini menjalankan perniagaan penghantaran makanan secara atas talian.

“Kami juga membekalkan belon untuk parti hari jadi yang kebanyakannya diadakan di rumah,” katanya.

Adam berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya menguatkuasakan kembali SOP untuk majlis perkahwinan/sosial seperti ketika tempoh PKPB.

Seorang lagi pemilik ruang acara Ethan Pnwee, yang menguruskan “Miracle Box Event Management”, berkata perniagaannya berdepan kemerosotan 40% pendapatan sejak pelaksanaan PKP kali pertama pada Mac tahun lalu.

Katanya, kerajaan perlu membenarkan pemilik perniagaan seperti mereka beroperasi semula, selaras dengan kelulusan diberikan kepada pelbagai perniagaan lain.

“Ruang kami dapat menempatkan 50 orang tetapi kami boleh saja mengurangkannya kepada 30 bagi mengekalkan penjarakan sosial, asalkan kami dibenarkan beroperasi,” kata Ethan.

Katanya, penyedia ruang acara secara kecil-kecilan sepertinya akan dapat menjalankan majlis yang mematuhi SOP, menguatkuasakan langkah kesihatan dan keselamatan, serta memastikan semua tetamu mengikut peraturan.

“Ini kepakaran kami,” katanya.

Satu lagi syarikat pengurusan acara, Brickhouse Group berkata mereka mengalami 90% kerugian sejak Mac lalu.

Pemilik bersama Brickhouse Group Christine Bong ketidaktentuan bila PKP akan berakhir sangat membimbangkan mereka.

“Pelaksanaan PKP 2.0 mungkin berkesan dalam menurunkan jumlah kes jangkitan Covid-190 tetapi kami perlukan sesuatu yang jelas bagi membolehkan pelan perniagaan dirangka secara tepat.

“PKP pada masa ini sangat menjejaskan ekonomi, selain tidak begitu berkesan menurunkan kes jangkitan wabak,” katanya.

Di bawah PKP 2.0, kerajaan melarang perhimpunan sosial seperti majlis perkahwinan, sambutan hari jadi dan perjumpaan reunion.

PKP kali ini ditetapkan hingga 18 Februari dan dijangka dilanjutkan, melihat kepada angka kes baharu Covid-19 yang kekal pada empat angka. – 16 Februari, 2021.

Iklan
Iklan