Gubal akta anti diskriminasi tangani retorik perkauman ahli politik, kata wakil rakyat
Iklan
PUTRAJAYA sepatutnya mengubal akta anti diskriminasi kaum jika mahu menangani isu sentimen perkauman yang dimainkan oleh ahli politik, kata wakil rakyat Lim Lip Eng.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan ahli politik menggunakan sentiment perkauman untuk kepentingan politik, ketika melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 secara maya hari ini.
“Nampaknya, Muhyiddin yang pernah mengeluarkan kenyataan ‘Melayu dulu’, kini faham cabaran dihadapi negara pelbagai kaum seperti Malaysia,” kata ahli Parlimen Kepong itu.
“Atas sebab itu, Muhyiddin sepatutnya mengubah pendiriannya kepada ‘rakyat Malaysia dulu’ kerana kita semua rakyat Malaysia, sama ada India, Kadazan, Dayak, Melayu atau Cina.
“Mungkin kita perlukan kerendahan hati yang tinggi untuk mengutamakan kaum lain, tetapi ini tentnag meletakkan negara terlebih dulu, kemudian kaum.”
Agenda pelan pembangunan 10 tahun dilancarkan perdana menteri itu berdasarkan kepada konsep perpaduan dalam perbezaan, dengan strategi jangka panjang untuk memanfaatkan, mengukuhkan dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Tiga objektif dalam agenda itu ialah mengukuhkan integrasi nasional berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, membina identiti nasional dan membangunkan rasa penghargaan untuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Lim berkata bagi menyelesaikan masalah ahli politik menggunakan sentiment perkauman, Muhyiddin perlu memperkenalkan akta khusus untuk menangani diskriminasi kaum dan agama, contohnya menggubal Akta Kebencian Kaum dan Agama serta Akta Anti Diskriminasi.
Katanya, sudah dua kali beliau membangkitkan isu itu, sekali ketika pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini dan tahun lalu, berkenaan sama ada kerajaan akan bersedia untuk menggubal undang-undang seperti itu.
“Pada kedua-dua keadaan, permohonan saya ditolak dengan alasan sama iaitu undang-undang sedia ada mencukupi untuk membendung polemik isu agama dan kaum.
“Namun, dalam keadaan semasa, Muhyiddin tahu tiada tindakan diambil terhadap perbuatan ahli politik tertentu,” katanya. – 15 Februari, 2021.
Berita penuh di sini.