Iklan

Dr Mahathir calon PM paling layak, kata Mukhriz

Diyana IbrahimMelati A. Jalil7 years ago30th Dec 2017Berita
Bersatu agm 301217 tmiseth 12
Bersatu menuntut jawatan perdana menteri kepada Dr Mahathir Mohamad bukan kerana hendak glamor tetapi hanya beliau paling layak dan berpengalaman untuk mengeluarkan Malaysia daripada belenggu kesusahan sekarang, kata Mukhriz Mahathir pada ucapan penggulungan AGM Bersatu hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Disember, 2017.
Iklan

BERSATU menuntut jawatan perdana menteri Pakatan Harapan diberikan kepada Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai calon paling berpengalaman dan layak .

Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir berkata jumlah kerusi Parlimen sebenarnya tidak menjadi penentu seseorang dilantik menjadi perdana menteri.

“Untuk selesaikan masalah negara kita perlukan (pemimpin) pengalaman yang ada rekod cemerlang dan ada keikhlasan berjuang demi rakyat bukan kepentingan peribadi.

“Bersatu bukan nak jawatan perdana menteri untuk glamour bukan untuk seronok, tapi sebab kita tuntut jawatan perdana menteri diberikan kepada Dr Mahathir (yang) dilihat layak dan berpengalaman (untuk) mengeluarkan Malaysia dari belenggu dihadapi,” katanya dalam ucapan pengulunggan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu di Shah Alam hari ini.

Dalam ucapannya itu, Mukhriz turut mengumumkan Bersatu memutuskan rundingan kerjasama dengan PAS.

Mukhriz berkata Bersatu kini juga bersedia untuk berdepan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang.

“Rundingan Bersatu dan PAS gagal capai kata sepakat kerana pemimpin PAS mesra Umno.

“Mereka hendak bertanding 100 kerusi Umno tapi cuma hendak menang 40 kerusi,” kata Mukhriz yang menambah, 40 kerusi tersebut tidak cukup untuk membentuk kerajaan.

Mukhriz berkata meskipun bakal berdepan dengan pertandingan tiga penjuru, namun beliau yakin rakyat akan menyokong PH.

Sokongan serupa turut disuarakan presidennya, Muhyiddin Yassin yang berkata rata-rata rakyat mahu Dr Mahathir mengetuai PH seterusnya memegang jawatan perdana menteri.

Pada masa sama beliau juga meminta rakan PH lain berlapang dada untuk memberikan kerusi sebanyak mungkin kepada Bersatu.

Katanya ketika ini rundingan kerusi dengan PH untuk pilihan raya kelak masih lagi berjalan.

“Jawatan perdana menteri bukan habuan tapi tanggungjawab berat kepada siapa yang pikul.

Sebelum ini PKR dikatakan satu-satunya parti pembangkang dalam PH yang tidak bersetuju Dr Mahathir dijadikan sebagai calon perdana menteri sementara.

Bagaimanapun kemudiannya, PKR menyatakan mereka bersedia menerima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya Bersatu setuju dengan tiga syarat. – 30 Disember, 2017.

Iklan
Iklan