Permohonan maaf Dr Mahathir tindakan terhormat dan terpuji, kata Muhyiddin
Iklan
PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin memuji tindakan Dr Mahathir Mohamad kerana berani meminta maaf secara terbuka kerana kesalahan pada masa silamnya.
Berucap semasa sesi penggulungan, Muhyiddin menyifatkan pengakuan negarawan itu sebagai tindakan terpuji dan terhormat.
“Beliau telah meminta maaf kepada semua dan berkata sebagai manusia biasa tidak lari dari melakukan kesilapan.
“Kenyataan ini datangnya dari negarawan yang cukup merendahkan diri untuk menerima segala kesilapan lalu dan meminta maaf,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu yang pertama kali diadakan di Shah Alam.
Terdahulu dalam ucapan sulung perhimpunan parti itu, Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri selama 22 tahun mengaku di hadapan pemimpin tertinggi PH dan lebih seribu perwakilan parti bahawa beliau hanyalah “insan biasa.”
“Saya, seperti manusia lain tidak mungkin sunyi dari berkata dan melakukan kesalahan bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.
“Saya pohon maaf terhadap apa jua kesalahan saya selama ini.”
Ini merupakan kali pertama Dr Mahathir meminta maaf secara terbuka.
Pelbagai pihak termasuk sekutunya dalam PH sekarang, pernah mengkritik Dr Mahathir yang langsung tidak mahu mengulas tanggungjawabnya dalam pelbagai perkara yang berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri termasuklah Operasi Lalang dan penyingkiran Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
Pada masa sama Muhyiddin turut mengulangi sokongannya terhadap Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.
“Sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dr Mahathir dan PH adalah lebih seratus peratus.” – 30 Disember, 2017.