Iklan

Hospital lega kadar penggunaan katil menurun

Aminah Farid4 years ago16th Feb 2021Berita
Hospital covid-19
Kadar huni pusat kuarantin dan penggunaan katil di hospital menurun kepada 47%, sementara ICU 38%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2021.
Iklan

KADAR penggunaan katil di hospital menurun dengan ketara, memberi ruang kepada sektor kesihatan awam menarik nafas lega selepas berlaku bebanan kes awal tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata ia melibatkan penghunian pusat kuarantin.

Beliau berkata dengan 19,800 orang menjalani kuarantin di rumah pada minggu kedua Februari, ia mengurangkan beban Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC)).

Katanya, kadar huni pusat kuarantin dan penggunaan katil di hospital menurun kepada 47%, sementara Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menurun kepada 38%.

Noor Hisham berkata jika dibandingkan ketika kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 hampir mencapai 80-90% pada Januari, ia kini secara keseluruhan berada pada 55%.

“Sekarang, saya rasa kita mampu menampung sebilangan pesakit ini, dan kemudahan kita dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya pada taklimat media hari ini di Putrajaya.

Awal tahun ini, Noor Hisham berkata sistem kesihatan sudah mencapai tahap maksimum ketika kes mulai melonjak pada Januari.

Angka harian yang membimbangkan menyaksikan negara melaksanakan sekali lagi perintah kawalan pergerakan pada 13 Januari yang berlangsung hingga 4 Mac. – 16 Februari, 2021.

Iklan
Iklan