Bersatu tutup pintu, tiada lagi kerjasama dengan PAS
Iklan
Selepas hampir setahun, parti Bersatu menutup sepenuhnya pintu buat PAS bagi sebarang kerjasama dengan parti itu.
Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad berkata pintu kerjasama hanya terbuka jika ahli PAS keluar parti dan menyertai PKR, DAP, Amanah ataupun Bersatu sendiri.
“Kita putus segala hubungan melainkan (jika) orang PAS hendak keluar daripada PAS dan hendak masuk parti dalam Pakatan Harapan termasuk PPBM,” kata beliau dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan parti itu yang pertama di Shah Alam hari ini.
Mahathir turut enggan melayan soalan lain tentang PAS dalam sidang media tersebut.
Soalan wartawan mengenai komen Setiausaha Agung parti Islam itu, Takiyuddin Hasan bahawa pencalonan perdana menteri sementara bertentangan dengan Perlembagaan hanya dijawab dengan ringkas dan keras oleh Mahathir.
“Siapa peduli PAS?” soalnya kembali.
Dalam ucapan penggulungan sebelum itu, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata rundingan antara parti itu dengan dan PAS gagal capai kata sepakat kerana parti Islam itu menolak kerjasama dengan DAP dan Amanah.
“Pemimpin tinggi PAS nampak lebih mesra dengan Umno,
“Terkini ada kepimpinan tertinggi PAS menyatakan isu tanah Felda mudah diselesaikan dan tak perlu RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja).
“Maka dengan itu PPBM ambil keputusan putus rundingan dengan PAS dan sanggup menghadapi pertandingan tiga penjuru,” kata Mukhriz diiringi tepukan gemuruh perwakilan dalam mesyuarat agung pertama dalam sejarah parti berusia setahun itu. – 30 Disember 2017