10 daripada 13 kluster baharu hari ini berkait tempat kerja
Iklan
KEMENTERIAN Kesihatan hari ini mengesan 13 kluster baharu, dengan 10 daripadanya berkait dengan tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kluster itu melibatkan kilang-kilang atau tapak pembinaan di mana ujian saringan terhadap pekerja dibuat.
Setakat tengah hari ini, satu komuniti melibatkan kawasan perumahan, sementara lagi dua melibatkan orang yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi dari pusat jagaan.
Jumlah kluster baharu hari ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 499, sementara jumlah kumulatif kluster sebanyak 1,028.
Dr Noor Hisham berkata kluster baharu kebanyakannya di Selangor (5) dan Johor (4), manakala setiap satu di Terengganu, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Sarawak.
Kluster yang direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster sejak pandemik kepada 1,028.
Sementara itu setiap kluster bukan tempat kerja dilaporkan di Selangor, Johor dan Sarawak.
Satu kluster di Selangor adalah kluster Jalan DC di pusat penjagaan di Desa Coalfield di Sungai Buloh di mana kes indeks ditemui positif dua hari lalu. Sehingga hari ini, 13 orang telah dijangkiti.
Satu kluster di Johor iaitu kluster Jalan Payamanis turut melibatkan pusat jagaan di Johor Bahru melibatkan individu berisiko tinggi. Kluster ini mempunyai 39 kes positif daripada 254 orang yang disaring.
Kluster Jalan Yong adalah kluster komuniti di Sungai Yong, Kapit, Sarawak di mana kes indeks dilaporkan positif pada 17 Februari melalui ujian saringan. Sejumlah 15 orang telah dijangkiti dengan Covid-19. – 17 Februari, 2021.