Iklan

Jualan restoran terjejas, ramai pilih makan di rumah ketika Tahun Baru Cina

Khoo Gek San4 years ago18th Feb 2021Berita
50043341178 86633a7cdb o
Walaupun pesanan makanan bawa pulang lebih banyak berbanding pada masa lalu, perniagaan, dari segi pendapatan yang dihasilkan, tidak sebagus sebelumnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.
Iklan

BEBERAPA restoran Cina mendapati ada peningkatan dalam perkhidmatan makanan bawa pulang sepanjang Tahun Baru Cina namun ia tidak cukup untuk menampung kerugian akibat larangan membendung penularan Covid-19, kata persatuan mereka.

Mereka berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika Tahun Baru Cina menghalang keluarga daripada berhimpun secara tradisi dan makan malam perayaan di restoran, sekali gus mengakibatkan kejatuhan perniagaan hingga 70% hingga 80% dalam beberapa kes.

Walaupun kerajaan membenarkan makan di restoran, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, para pengusaha restoran ini berkata ia agak terlambat bagi mereka.

Presiden Persatuan Restoran dan Chef Koo Soo Malaysia Wong Teu Hoon bagaimanapun berkata mereka mendapati peningkatan pesanan makanan bawa pulang sepanjang tempoh ini.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, pesanan makanan bawa pulang untuk perjumpaan tahun baru meningkat 80% berbanding ketika hari bekerja.

Beliau berkata, walaupun pesanan makanan bawa pulang lebih banyak berbanding pada masa lalu, perniagaan, dari segi pendapatan yang dihasilkan, tidak sebagus sebelumnya.

Katanya ketika pelanggan makan, penggunaan purata meja antara RM1,000 hingga RM2,000. Sebagai perbandingan, pakej bawa pulang hanya antara RM300 hingga RM600.

Wong berkata beliau difahamkan hanya 20% restoran Cina dibuka untuk makan malam semasa tahun baru sementara selebihnya tertumpu pada pesanan makanan bawa pulang sahaja.

Tambahnya jumlah perniagaan tahun ini hanya 30% berbanding Tahun Baru Cina 2020.

Pengusaha berkata antara sebab lain mengapa restoran tidak dibuka pada malam dan hari pertama tahun baru adalah kerana mereka sibuk memenuhi ratusan pesanan makanan bawa pulang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.

Pengerusi Koo Soo San Yuen Guild Taiping, Law Eu Wei mengeluh kerana jumlah perniagaan Tahun Baru Cina tahun ini turun sebanyak 80% berbanding tahun lalu.

Ini disebabkan ramai tidak pulang ke Taiping untuk tahun baru kerana larangan perjalanan di bawah syarat PKP.

Akibatnya, banyak keluarga memilih membeli makanan bungkus.

“Pesanan makanan bawa pulang, jika dibandingkan dengan malam Tahun Baru Cina tahun lalu adalah 50% lebih tinggi tetapi perniagaan dari segi ringgit dan sen tidak begitu baik.

“Tiada yang datang ke restoran untuk makan malam.”

Beliau berkata perjumpaan biasanya merupakan urusan besar dengan tempahan meja untuk 10 orang itu sudah menjadi perkara biasa sebelum ini.

Makan di restoran untuk dua orang tidak banyak membantu perniagaan, tambahnya.

“Kami tak buat duit.”

Dikatakan hanya 20% restoran Cina dibuka untuk makan malam dalam tempoh tahun baru sementara selebihnya tertumpu pada pesanan makanan bawa pulang sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.

Pengerusi Persatuan Kedai Teh dan Restoran Koo Soo Kwong Choon Tong Pulau Pinang, Vinah Yee berkata keadaan itu juga sama di Pulau Pinang.

Beliau berkata kebanyakan ahli pemilik kedai tidak dibuka pada malam tahun baru dan hari pertama tahun baru ini.

“Kami fokus menyiapkan pesanan makanan bawa pulang.

Kisahnya sama seperti di negeri lain. Perniagaan tahun ini merosot sebanyak 70% berbanding tahun lalu kerana sekatan perjalanan dan peraturan makan malam.

Yee berkata, sebab lain mengapa restoran tidak dibuka pada malam dan hari pertama tahun baru adalah kerana mereka sibuk memenuhi ratusan pesanan makanan bawa pulang.

“Kami sekeluarga datang ke restoran pada hari keempat tahun ini dan berpecah kepada tujuh meja. Dengan sekatan makan malam, lebih senang makan malam di rumah.” – 18 Februari, 2021.

Iklan
Iklan