Iklan

Hapuskan miskin ilmu, letak guru berkualiti dalam komuniti Orang Asli, kata aktivis

Aminah Farid4 years ago18th Feb 2021Berita
49935611103 e5962eced3 c
Kekurangan pendidikan di kalangan pelajar Orang Asli telah lama menjadi masalah sejak bertahun-tahun, malah bertambah buruk ketika PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.
Iklan

KERAJAAN perlu menjadikan balai raya di perkampungan Orang Asli sebagai penempatan guru dan memastikan sambungan internet kukuh agar pendidikan anak-anak Orang Asli tidak terabai semasa wabak Covid-19, kata aktivis.

Dr Colin Nicholas, pengasas Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan tidak sepatutnya mengamalkan pendekatan “satu untuk semua” mengenai isu kemiskinan pendidikan di kalangan pelajar Orang Asli di negara ini.

Beliau berkata ini kerana kemiskinan pendidikan di kalangan pelajar Orang Asli (OA) di bandar dan kampung bagaikan langit dengan bumi.

Oleh itu Nicholas mencadangkan Putrajaya melihat pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti untuk pelajar OA di kampung.

“Pelajar orang asli di kampung tinggal beberapa ratus meter antara satu sama lain, jadi daripada memberikan komputer riba sepatutnya ada pusat komuniti di mana anak-anak ini dapat datang dan belajar bersama.”

Beliau berkata jarak sosial tidak dapat diterapkan dalam konteks ini kerana para pelajar ini selalu bertemu dan bermain antara satu sama lain di kampung.

Nicholas juga menjelaskan di beberapa kampung yang dikunjunginya, beliau melihat ramai anak-anak OA sangat tidak sabar untuk kembali ke sekolah kerana mereka dah puas bermain.

“Jika ada pusat untuk mereka berkumpul, maka kerajaan boleh atur program pelajaran yang tepat, baik dengan Internet atau TV Pendidikan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Keamanan Global Dr Teh Su Thye turut mencadangkan sesuatu yang serupa.

Sebagai permulaan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) boleh rujuk model sekolah komuniti yang dikendalikan oleh pelbagai badan bukan kerajaan.

“Kenalpasti bakal guru dalam komuniti untuk menjalankan sesi pembelajaran. Perkampungan tanpa penerimaan atau alat peranti masih perlukan guru. Kita tak boleh harapkan anak-anak belajar sendiri dengan bagi buku,” katanya.

Minggu lalu, Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Yusri Ahon berkata terdapat kebimbangan anak-anak Orang Asli akan ketinggalan dalam pelajaran mereka semasa wabak ini jika tidak ada campur tangan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata dalam wawancara, selain kekurangan liputan Internet yang meluas, ibu bapa Orang Asli tidak mempunyai alat peranti yang diperlukan untuk model pembelajaran di rumah, seperti telefon pintar atau komputer riba.

Justeru, Yusri berkata, ini akan membantu mengelakkan jurang akademik yang terlalu luas antara anak-anak Orang Asli dan rakan mereka di bandar, malah kelas di sekolah masih menjadi pilihan terbaik untuk pelajar Orang Asli.

Kekurangan pendidikan di kalangan pelajar Orang Asli sekian lama menjadi masalah sejak bertahun-tahun, malah bertambah buruk ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.

Mustafa Along, ketua Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) berkata, sementara akses Internet yang buruk menjadi isu berterusan di Gua Musang, Kelantan, pembelajaran itu sendiri telah menjadi satu cabaran memandangkan ibu bapa tidak mampu mendapatkan alat peranti untuk pelajaran anak mereka.

Beliau berkata penduduk kampung telah berjuang untuk memastikan anak-anak mereka untuk mengikuti pelajaran dalam talian kerana kekurangan alat peranti dan akses internet yang stabil semasa PKP.

“Isu pendidikan orang asli bukanlah isu baru. Malah sebelum pelaksanaan PKP, Orang Asli sudah berdepan masalah yang berkaitan dengan kualiti pendidikan walaupun terdapat sekolah rendah di luar bandar,” kata Mustafa.

Bulan lalu, Jakoa berkata mereka dalam perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk menentukan kaedah pengajaran dan pembelajaran terbaik buat masyarakat di kawasan pedalaman Kelantan.

Ketua pengarahnya Juli Edo berkata masalah itu sedang diteliti, selain menambah buat masa ini, dengan PKP masih berkuatkuasa, pelajar Orang Asli yang terjejas belum dapat melanjutkan sesi persekolahan mereka.

Tijah Yok Chopil, ketua Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) menekankan peri pentingnya mempunyai sambungan Internet yang bagus di kampung-kampung ini.

“Sekiranya kamu pergi ke kampung, kamu akan nampak kebanyakan keluarga mempunyai beberapa alat peranti, tetapi apa gunanya jika kamu tiada akses internet yang sepatutnya?”

Beliau menjelaskan, sementara pusat-pusat komuniti dapat diubah menjadi pusat pendidikan dengan komputer dan televisyen, sangat penting untuk kerajaan memberi capaian internet yang bermutu untuk anak-anak.

Seperti Teh, Tijah juga menyarankan agar Jakoa mencari guru di pusat-pusat pembelajaran ini kerana anak-anak Orang Asli kemungkinan besar tidak dapat belajar sekiranya mereka dibiarkan.

“Anak-anak ini memerlukan bimbingan, sementara beberapa ibu bapa orang asli menekankan pentingnya pendidikan dan ada yang tidak. Oleh itu inilah pentingnya bimbingan guru bagi memastikan para pelajar ini mengikuti pelajaran mereka.”

Beliau turut berkata, perlu ada ketekalan dalam pelajaran kerana dari apa yang beliau perhatikan di kampungnya, pelajar Orang Asli hanya mengikuti pelajaran seminggu sekali yang mana ia tidak mencukupi.

Tijah berkata mata pelajaran utama yang mesti diberi perhatian oleh anak-anak Orang Asli ialah Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Malaysia kerana mata pelajaran ini paling relevan dalam masyarakat lebih besar. – 18 Februari, 2021.

Iklan
Iklan