Iklan

Polis tahan pengasas Sugarbook

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago18th Feb 2021Berita
Social sugarbook applications 01
Aplikasi Sugarbook merupakan perkhidmatan kepada golongan wanita dan lelaki yang mencari pasangan berkonsep sugar dating. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Februari, 2021.
Iklan

PIHAK polis menahan pengasas aplikasi Sugarbook pada jam 4.30 petang semalam di perkarangan Icon Residence, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata lelaki berusia 34 tahun itu akan direman di Mahkamah Shah Alam, pagi ini.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor dan JSJ Shah Alam telah menahan seorang lelaki di perkarangan Icon Residens KL. Suspek yang berumur 34 tahun, beralamat di Minden Height Gelugor Pulau Pinang akan direman pada 18 Februari di Mahkamah Shah Alam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Fadzil, siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook.

“Tangkapan kes ini dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 372 B kanun yang sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan digunakan bagi menyiasat kesalahan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 372B Kanun Keseksaan pula digunakan untuk menyiasat kesalahan menjalankan pelacuran yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.

Sehingga kini, sebanyak 74 laporan polis sudah dibuat berkaitan dengan kes ini.

Sugarbook adalah laman web dan platform aplikasi yang dibentuk berdasarkan konsep “sugar dating”.

Istilah sugar daddy sering digunakan untuk menggambarkan hubungan di mana sokongan kewangan ditukar untuk sebuah persahabatan romantik, yang mungkin melibatkan hubungan seksual atau tidak.

Minggu lalu, Sugarbook mendedahkan peningkatan pendaftaran 40% di kalangan pelajar universiti bagi membayar yuran pengajian, keperluan diri dan kos sara hidup.

Polis memulakan siasatan ke laman web itu selepas menamakan 10 universiti awam dan swasta mempunyai pelajar paling ramai yang memilih menjadi “sugar baby” dan mencari “sugar daddy” untuk membiayai gaya hidup mereka.

Pada Selasa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat platform temu janji dalam talian selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Noraini berkata dalam catatan Facebook, kementeriannya dan SKMM bersetuju untuk bertindak terhadap laman web tersebut. – 18 Februari, 2021.

Iklan
Iklan