Iklan

Polis tahan 10,000 pesalah dadah Januari lalu, kata Bukit Aman

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago18th Feb 2021Berita
Iklan

POLIS menahan hampir 10,000 pesalah dadah termasuk 28 penjawat awam atas pelbagai kesalahan dadah selain merampas dadah bernilai RM168.26 juta setakat Januari tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Razarudin Husain berkata 22 sindiket dadah di seluruh negara turut ditumpaskan dalam tempoh yang sama selain rampasan 27,623.47 kilogram pelbagai jenis dadah serta 4,955.61 cecair dadah.

“Jabatan Narkotik sentiasa berusaha mengesan pelbagai bentuk kegiatan penyeludupan dadah dan pengedaran dadah melalui siasatan maklumat riiskan yang rapi dan profesional.

“Selari dengan itu, sepanjang 2021 bagi tempoh Januari, seramai 9,323 ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan daripada jumlah itu, 28 orang adalah penjawat awam.” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dengan JSJN menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM26.10 juta.

Katanya, antara kejayaan terbesar ialah penahanan tiga lelaki di Kepong dan Seri Kembangan serta merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM4.3 juta pada 9 Januari, disusuli dengan beberapa tangkapan besar di Johor.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata terbaru pada 1 Februari lalu, JSJN melancarkan operasi khas ke atas sindiket pengedaran dadah membabitkan tujuh serbuan di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perlis.

Katanya, dalam operasi itu sembilan lelaki tempatan, seorang lelaki warga Kemboja, dua wanita dan seorang kanak-kanak ditahan susulan penemuan 399.48 kilogram ganja serta 770 kilogram ketum bernilai RM1,006,400.

Beliau berkata JSJN akan sentiasa proaktif dalam menjalankan pemantauan sindiket pengedaran dadah agar tindakan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Selain itu, katanya JSJN akan menjalin kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah dapat dibanteras. – 18 Februari, 2021.

Iklan
Iklan