Iklan

7 ditahan suspek jual setem hasil kerajaan, pas kerja sementara

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago18th Feb 2021Berita
Sprm
SPRM tahan tujuh ahli sindiket yang mencuri dan menjual setem hasil kerajaan dan pelekat PLKS melibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.
Iklan

AGENSI anti rasuah menahan tujuh ahli sindiket yang mencuri dan menjual setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang melibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta semalam, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, risikan ke atas sindiket ini berjalan lebih enam bulan hasil kerjasama SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 (atas kesalahan rasuah).

“SPRM memandang serius isu ini kerana ia melibatkan kerugian dan ketirisan kepada hasil kerajaan,” katanya.

Empat daripada tujuh suspek direman lima hari sejak semalam sehingga 21 Februari, sementara tiga direman enam hari bermula hari ini sehingga 23 Februari Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Putrajaya atas permohonan SPRM.

Menurut sumber, semua suspek yang ditahan di sekitar Kuala Lumpur berusia antara 30 hingga 39 tahun. Empat daripadanya kakitangan sebuah syarikat percetakan keselamatan dan tiga orang awam.

“Sindiket ini dipercayai melakukan aktiviti mereka sejak tiga tahun dan mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sindiket ini beroperasi dengan memberi rasuah kepada kakitangan percetakan untuk mencuri keluar setem hasil dan pelekat PLKS dari stor simpanan percetakan dan menjualnya di pasaran gelap melalui tiga orang awam yang lain.

“Sejumlah 2,500 keping setem hasil kerajaan bernilai RM250 dan RM10 yang keseluruhannya bernilai RM12.5 juta telah dirampas dalam operasi besar-besaran yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur semalam,” katanya.

Menurut sumber, setem hasil yang bernilai RM250 dijual di pasaran gelap dengan nilai antara RM40 hingga RM60 manakala setem hasil bernilai RM10 dijual dengan harga RM5 hingga RM6.

Setem hasil digunakan sebagai bayaran duti setem bagi urusan perjanjian jual beli dan kebiasaannya dibeli di pejabat pos atau cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sindiket ini juga dipercayai menjual PLKS yang mempunyai ciri keselamatan, dengan harga lebih rendah yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

“Setiap PLKS ini dijual kepada warga asing di pasaran gelap dengan nilai RM700 hingga RM800 sekeping.

“Bayaran sebenar bagi mendapatkan PLKS antara RM2,000 hingga RM3,000 yang dikeluarkan oleh imigresen mengikut sektor pekerjaan yang dipohon,” katanya. – 18 Februari, 2021.

Iklan
Iklan