Iklan

Kerajaan patut tangani punca sugar dating, kata 'sugar baby'

Aminah Farid4 years ago21st Feb 2021Berita
Social sugarbook applications 01
Sugarbook melindungi identiti semua 'sugar baby', kata seorang mahasiswa yang menggunakan platform itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2021.
Iklan

KERAJAAN sepatutnya menangani punca wujudnya “sugar dating”, iaitu jurang kekayaan, sebelum menyekat aplikasi janji temu seperti Sugarbook, kata mahasiswa yang menggunakan platform itu.

Pelajar terbabit, dipanggil “sugar baby” atau perempuan simpanan, berkata kerajaan patut mengkaji mengapa mahasiswa melanggan aplikasi tersebut, bukan mengharamkannya.

Sugar baby adalah wanita atau lelaki muda dibiayai oleh “sugar daddy” atau “sugar mama” sebagai balasan hubungan antara mereka, yang tidak semestinya melibatkan hubungan seksual.

Salah seorang daripada mereka, “Mia”, berkata masyarakat mudah menyalahkan mahasiswa memilih jalan singkat dan tidak bermoral tetapi tiada satu pun usaha diambil bagi menangani jurang status dalam kalangan pelajar universiti.

Beliau memetik laporan mengenai seorang ibu tunggal yang terlibat dalam aktviti pelacuran untuk membesarkan anak, dan wanita itu kemudiannya ditangkap polis.

“‘Jenayah’ yang dilakukannya berpunca dari kegagalan kerajaan untuk menjaga anaknya. Pada saya situasi ini sama sahaja dengan sugar dating,” kata Mia kepada The Malaysian Insight.

Mengharamkan laman web sugar dating juga hanya akan membahayakan keselamatan sugar baby, katanya.

Ia bukan sahaja menghalang mahasiswa dari membuat janji temu, malah meletakkan mereka dalam bahaya.

“Mereka terpaksa menggunakan cara lain yang akan membawa risiko.

“Saya beri contoh pengguguran. Mengelaskan pengguguran sebagai jenayah tidak menghalang wanita untuk gugurkan kandungan. Maknanya, wanita masih boleh mendapatkan khidmat menggugurkan kandungan di tempat yang tidak berlesen, yang mana kadar kematian adalah tinggi.

“Tiada siapa yang melakukannya kerana suka-suka.”

Kementerian Pengajian Tinggi dan SKMM bersetuju untuk mengambil tindakan terhadap laman web Sugarbook. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2021.

Sugarbook adalah aplikasi yang menyediakan platform bagi mencari wanita untuk dijadikan perempuan simpanan. 

Baru-baru ini Sugarbook mendedahkan jumlah ahlinya meningkat 40% dalam kalangan mahasiswa bagi menampung kos yuran pengajian dan kos sara hidup.

Polis memulakan siasatan selepas Sugarbook mendedahkan 10 universiti awam dan swasta mempunyai pelajar paling ramai yang memilih menjadi sugar baby dan mencari sugar daddy untuk membiayai gaya hidup mereka.

Pada Selasa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat platform dalam talian itu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Noraini berkata dalam catatan Facebook, kementeriannya dan SKMM bersetuju untuk bertindak terhadap laman web tersebut. 

Seorang lagi sugar baby, Kimberly, turut senada dengan Mia dalam isu keselamatan mereka. Kimberly menyahaktifkan akaun di Sugarbook selepas mendapat tahu laman web itu disekat.

Menurutnya, Sugarbook dan laman web seangkatan dengannya melindungi identiti semua sugar baby, malah sesiapa sahaya yang mahu mendaftar masuk perlu memuat naik kad pengenalan untuk langkah keselamatan.

Walaupun kerajaan menyekat Sugarbook, masih ada banyak cara lain untuk mencari sugar daddy, kata Kimberly. Bezanya, tanpa laman web seperti Sugarbook identiti sugar baby tidak dilindungi dan mereka terdedah kepada penipu.

“Kerajaan hanya memburukkan lagi keadaan.

“Dengan adanya laman web seperti ini, identiti kami dilindungi. Kebanyakan kami menggunakan nama samaran, bukan nama sebenar.

Sugar daddy yang menggunakan laman-laman web seperti Sugarbook telah disahkan terlebih dahulu, dan hanya wanita berusia 18 tahun ke atas dibenarkan masuk ke laman web selepas kad pengenalan mereka diperiksa.

“Menyekat Sugarbook hanya akan mendedahkan identiti kami, terutamanya jika kami mula menggunakan aplikasi WhatsApp, Tinder dan sebagainya untuk mencari sugar daddy,” katanya.

Polis menahan pengasas Sugarbook Khamis lalu tetapi dilepaskan semula selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan reman ke atasnya. 

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan semula pada hari yang sama bagi membantu siasatan kes rogol dan pelacuran susulan laporan daripada seorang pelajar institut pengajian tinggi mengenai kejadian yang berlaku di Subang Jaya pada 19 Februari 2019.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pasa Jumaat membenarkan lelaki itu direman tujuh hari mulai Khamis. – 21 Februari, 2021.

Iklan
Iklan