Iklan

Kesihatan, keselamatan diutamakan, bukan caj mahal, kata pengusaha gimnasium

Elill Easwaran4 years ago22nd Feb 2021Berita
W 56694795
Pelanggan mendapati SOP ketat di bawah PKP membataskan waktu latihan mereka dan tidak dapat menikmati faedah biasa di gimnasium. – Gambar EPA, 21 Februari, 2021.
Iklan

WALAUPUN gimnasium dan pusat kecergasan sudah diberi kebenaran untuk dibuka semula, namun keputusan itu mendatangkan perasaan bercampur baur antara pengusaha dan pelanggan.

Ini disebabkan oleh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa bagi mengekang penyebaran virus.

Pengusaha bersedia untuk mematuhi SOP ketat ini terutama selepas terpaksa ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 13 Januari.

Pelanggan bagaimanapun mendapati SOP seperti itu membataskan waktu latihan mereka dan tidak dapat menikmati faedah biasa di gimnasium.

Pengurus Fitness First yang hanya mahu dikenali sebagai Kenny, 27, berkata selepas dibuka semula, latihan berasaskan kekuatan dibenarkan tetapi belum ada pelanggan susulan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Walaupun kami hanya membenarkan 30% ahli memasuki premis, kami gembira kerana keadaan perlahan-lahan kembali normal apabila boleh kembali beroperasi.

“Tempahan masuk ke gimnasium juga sangat ketat dan jika tidak ada tempahan, maka ahli tersebut tidak dibenarkan masuk walau dalam keadaan apa pun,” katanya.

Beliau menambah bahawa ada pelanggan yang meminta kadar yuran keahlian yang lebih rendah tetapi itu bergantung kepada pihak pengurusan tertinggi untuk memutuskannya. 

Menurutnya jumlah ahli baharu tahun ini pasti menurun berbanding Januari tahun lalu susulan bimbang terhadap virus Covid-19 selain peningkatan kluster baharu menjelang akhir tahun lalu yang banyak mempengaruhi perniagaan.

Sementara itu pengasas bersama Discover Muaythai, Sanul John Tendahal berkata sebelum PKP 2.0, jumlah pelanggan hanya sedikit kerana gimnasium hanya dibenarkan mempunyai 10 pelanggan dalam satu masa.

“Terdapat sedikit kenaikan yuran kerana kami perlu membeli peralatan pembersihan dan melakukan sanitasi sebelum latihan dijalankan.

“Kami bersyukur bahawa setakat ini semua pelanggan mematuhi SOP dan bagi mereka yang disaring mempunyai demam tinggi atau tidak memakai topeng muka dan tidak membuat tempahan, kami terpaksa tidak membenarkan mereka memasuki premis.

“Dalam tempoh PKP, ahli kami tidak membatalkan keahlian mereka tetapi hanya mahu akaun mereka digantung dan diteruskan sehingga kami membuk semula gimnasium,” katanya.

Menurutnya terdapat penurunan jumlah ahli baharu berbanding sebelum Covid-19.

Beliau berkata mereka telah menawarkan sesi latihan atas talian untuk ahli semasa PKP.

Tetapi sistem latihan atas talian baharu ini tidak sesuai dengan semua pelanggan.

“Kami mempunyai beberapa ahli yang keluar dari keahlian kerana mereka tidak bersedia untuk menyesuaikan gaya hidup senaman mereka dalam norma baharu ini,” kata Ooi Choon Ee, 34, pengasas Pantheon Fitness Solutions.

Beliau berkata pusatnya tidak menanggung kos yang besar untuk menyesuaikan diri dengan SOP.

“Kami selalu menggunakan sabun tangan dan membersihkan peralatan kami sebelum pandemik lagi. Baru sekarang kami melakukannya dengan lebih kerap.

“Sebelum PKP, kami hanya membenarkan lapan orang setiap slot latihan, berdasarkan tempahan tetapi sekarang kami hanya membenarkan empat orang setiap sesi,” katanya. – 21 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan