Iklan

Pelarian, aktivis waspada janji kerajaan berkenaan vaksinasi

Elill Easwaran4 years ago22nd Feb 2021Berita
50612273462 3ed5e7a713 b
Pekerja asing tanpa izin bimbang sekiranya kerajaan tidak menepati janji mereka dan menangkap kumpulan itu ketika mendapatkan vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2021.
Iklan

KUMPULAN yang bekerja dengan pelarian di sini berharap agar kerajaan menepati janji mereka untuk tidak menahan pendatang tanpa izin (Pati) termasuk perlarian ketika mereka mendapatkan vaksin Covid-19.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka masih melihat tindakan kerajaan menahan Pati ketika kumpulan itu menjalani saringan Covid-10 pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Pada masa sama kumpulan ini juga mahu sebilangan daripada mereka yang bekerja dengan perlarian dianggap sebagai petugas barisan hadapan dan diberi vaksin awal.

Pengasas Women For Refugees (WFR) Arissa Jemaima, 24, berkata kumpulan sukarelawan akan lebih berhati-hati kali ini selepas apa yang berlaku pada tahun lalu.

“Secara realistik saya rasa kerajaan akan mengambil kesempatan dalam hal ini.

“Mereka mungkin memberi vaksin tetapi juga mencari kaedah untuk menahan pelarian ini,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu mempunyai 35 keluarga pelarian di bawah pengawasan mereka dengan setiap keluarga rata-rata terdiri daripada lima ahli.

Malah katanya keutamaan harus diberikan kepada mereka yang berisiko dan tidak boleh bergantung jika orang tersebut adalah warga asing atau warganegara.

Tambahnya sukarelawan juga perlu diberi vaksin secepat mungkin kerana mereka selalu berjumpa dengan orang ramai selain menyalurkan bantuan sepanjang wabak.

“Saya tidak kata semua orang di sebuah NGO perlu diberi vaksin tetapi sekurang-kurangnya kepada mereka yang berterusan memberikan bantuan,” katanya.

Minggu lepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa Pati tidak akan ditahan ketika mereka mendapatkan vaksin Covid-19.

Beliau berkata kerajaan akan menghubungi kedutaan asing, organissi antarabangsa dan masyarakat awam untuk membantu mencari Pati bagi membawa mereka mendapatkan vaksin, dengan jaminan mereka tidak akan ditangkap.

Tindakan ini dilakukan kerana sebilangan besar kes jangkitan virus terjadi dalam kalangan Pati terutama yang terlibat bekerja di kilang dan tapak pembinaan.

Khairy juga berkata kerajaan juga perlu memberikan kepercayaan terhadap komuniti pelarian sehingga mereka juga tampil mendapatkan vaksin dengan rela hati.

Semalam, kumpulan pertama 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNtech Covid-19 tiba dengan penerbangan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Pelarian juga dalam ketakutan

Seorang lagi aktivis sosial Chow Shenn Kuan berkata kerajaan perlu menjelaskan definisi siapa yang dikategorikan sebagai Pati.

Pengasas bersama Kakak itu berkata penting untuk menyatakan jika ia juga merangkumi pelarian, pencari suaka, pekerja migran dan Pati.

Beliau menambah kerajaan juga perlu berjanji untuk mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan yang terus menahan Pati ketika mereka datang mendapatkan vaksin.

“Kerajaan juga menyatakan beberapa kesan terhadap petugas yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan berkenaan pemberian vaksin kepada Pati,” katanya.

Katanya pendidikan dan kesedaran adalah kunci untuk mempengaruhi orang ramai mendapatkan vaksin.

Abdul, seorang pelarian berusia 38 tahun berkata, dia sudah bersedia untuk mendapatkan vaksin jika kerajaan menepati janji untuk tidak menangkapnya.

“Saya keluar bekerja setiap hari dan kerana itulah saya mahu mengambil vaksin. Saya mahu dilindungi supaya saya tidak menjangkiti keluarga saya,” katanya.

Seorang lagi pelarian Shahida Selamatullah, 36, dan Kuswati, 41, berkata mereka juga takut ditangkap ketika mengambil vaksin.

“Saya percaya ia tugas kerajaan untuk memberikan vaksin kepada kita tetapi akhirnya bertindak menangkap kita kerana tidak mempunyai dokumen.

“Saya harap Tuhan akan berada di sisi kita dan membantu melindungi saya dan keluarga,” kata Kuswati. – 22 Februari, 2021.

Iklan
Iklan