Balai Polis Ampang tutup, 11 anggota positif Covid-19, kata polis
Iklan
BALAI Polis Ampang ditutup mulai hari ini sehingga 1 Mac selepas sekurang-kurangnya 11 anggotanya disahkan positif Covid-19, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak.
Semua urusan di balai berkenaan bagaimanapun boleh dilakukan di mana-mana balai lain, katanya.
“Segala urusan membuat laporan polis dan permohonan rentas daerah atau negeri boleh dibuat di balai polis lain yang berhampiran,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya berurusan di balai polis lain antaranya Balai Polis Hulu Klang, Balai Polis Malawati, Balai Polis Pandan Indah, Balai Polis Ukay Perdana dan Balai Polis Pandan Perdana.
Farouk mengulas maklumat edaran dalaman yang tular di media sosial mengenai penularan Covid-19 dalam kalangan anggota yang bertugas di balai berkenaan.
“Sama-sama kita doakan petugas barisan hadapan yang positif Covid-19 diberi kesihatan yang baik dan segera sembuh,” tambahnya.
Awal hari ini, satu pekeliling dalaman yang memaklumkan penutupan Balai Polis Ampang tular di media sosial.
Pekeliling itu menyebut 11 anggota balai itu positif Covid-19 sementara sejumlah kontak rapat mereka diarah untuk menjalankan kuarantin kendiri. – 23 Februari, 2021.