Iklan

Perjalanan dalam daerah ikut pentadbiran daerah, bukan polis, kata Ismail Sabri

Aminah Farid4 years ago23rd Feb 2021Berita
49930877566 b0927dc325 o
Ismail berkata demikian sebagai menjawab aduan orang ramai dikompaun polis walaupun mereka membuat perjalanan dalam daerah mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.
Iklan

PERJALANAN dalam sesebuah daerah semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) hanya mengikut ketetapan daerah pentadbiran diketuai pegawai daerah, bukan sempadan polis, jelas Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Walaupun perjalanan antara daerah dilarang di bawah PKP, orang ramai dibenarkan bergerak di dalam daerah mereka sesuai dengan ketetapan daerah pentadbiran dan mereka tidak boleh dikompaun polis kerana melintas sempadan daerah polis.

Ismail Sabri menjelaskan perkara ini dalam sidang media hariannya, sebagai jawapan kepada aduan orang ramai yang dikompaun polis walaupun mereka membuat perjalanan dalam daerah mereka.

“Ramai yang bertanya (sempadan) daerah apa yang kita guna, sebab ada pentadbiran daerah yang diketuai oleh pegawai daerah, dan ada polis daerah, sampai orang bingung.

“Sebenarnya sejak dari dulu kita tidak pernah guna sempadan daerah polis tetapi menggunakan daerah pentadbiran diketuai pegawai daerah.

“Perkara ini telah diperbetulkan, apabila saya sendiri memaklumkan kepada PDRM, daerah yang digunakan adalah daerah pentadbiran kerajaan iaitu diketuai pegawai daerah,” katanya.
 
Sebagai contoh, orang yang tinggal di Subang Jaya berada di bawah daerah Petaling dan hanya dibenarkan melakukan perjalanan di Petaling.

Ismail Sabri berkata mereka yang telah dikenakan denda sebanyak RM1,000 oleh polis kerana melakukan perjalanan di daerah mereka sendiri boleh membuat rayuan kes mereka di pejabat kesihatan daerah masing-masing.

Mengenai operasi hotel, beliau berkata semua hotel dibenarkan beroperasi dan yang telah ditutup tidak boleh disalah anggap sebagai diperintahkan oleh kerajaan.

“Kerajaan tidak pernah mengarahkan hotel untuk tutup di bawah perintah kawalan pergerakan. Yang ditutup adalah yang mahu meminimumkan operasi kerana kekurangan pelanggan,” katanya.

Arahan PKP untuk semua negeri kecuali Sarawak akan berakhir pada 4 Mac. – 23 Februari, 2021.

Iklan
Iklan