Iklan

Kumpulan hak asasi kecam Putrajaya usir warga Myanmar

Elill Easwaran4 years ago23rd Feb 2021Berita
49930802138 c15e2a0f52 o
Pengusiran itu juga melanggar sekali gus menghina perintah mahkamah, kata mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.
Iklan

KEPUTUSAN Putrajaya mengusir lebih 1,000 warga Myanmar dan melanggar perintah mahkamah adalah tidak berperikemanusiaan, kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv.

“Kami terkejut karena kerajaan terus melakukan pengusiran,” katanya dalam satu kenyataan malam ini setelah Jabatan Imigresen mengesahkan telah menghantar pulang 1,086 warga Myanmar yang sebelum ini ditahan di pusat tahanan sejak tahun lalu.

Penghantaran pulang itu berlaku hari ini dari pangkalan tentera laut Lumut, walaupun ditangguhkan sementara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kerajaan Malaysia daripada melakukan tindakan itu.

Maliamauv menambah pihak berkuasa sebelum ini mendakwa tidak ada pencari suaka dalam kumpulan itu adalah “palsu.”

“Masih ada tanda tanya sangat besar mengenai status mereka yang dihantar pulang hari ini.

“Pihak berkuasa mesti mengembalikan akses Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke pusat-pusat tahanan dan membiarkan mereka menjalankan tugas menyelamatkan nyawa kerana kita tidak boleh terus menafikan hak asasi manusia bagi mereka yang telah mencari pekerjaan atau mendapatkan perlindungan keselamatan di tanah kita,” katanya.

Kumpulan hak-hak migran juga bertindak balas dengan pengasas bersama Women for Refugees, Arissa Jemaima menerangkan Malaysia menghantar warga Myanmar pulang sebagai lebih bahaya, berikutan rampasan kuasa oleh tentera negara itu pada 1 Februari.

“Warganegara Myanmar yang melarikan diri dari junta pada dasarnya adalah pencari suaka kerana mereka melarikan diri dari keganasan yang dilakukan oleh kerajaan mereka sendiri,” katanya.

Mahi Ramakrishnan, pengasas Beyond Borders berkata pelarian dan pendatang tanpa izin tidak boleh dihantar pulang, lebih-lebih lagi apabila adanya pelanggaran hak asasi manusia yang sedang berlaku di negara asal mereka.

“Dalam hal ini, Malaysia tidak hanya melanggar perintah mahkamah tetapi juga menghina prinsip-prinsip non-refoulement.

“Kami tidak boleh terus menggunakan alasan tidak ingin menjadi hub pendatang haram untuk menghantar pulang orang menghadapi penganiayaan atau bahkan kematian di negara asalnya.

“Apa yang dibuat imigresen hari ini adalah sesuatu yang keji,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Glorene Das dari Tenaganita berkata kerajaan telah melakukan penghinaan terhadap mahkamah.

“Sejak bila Jabatan Imigresen ada kuasa untuk tolak keputusan mahkamah.

“Ini tidak menghormati keputusan mahkamah dan keangkuhan Jabatan Imigresen sangat mengejutkan.

“Menurut kenyataan yang diberikan oleh Jabatan Imigresen, mereka yang dihantar pulang bersetuju untuk kembali secara sukarela tetapi macam mana kita boleh sahkan?” tambahnya.

Mahkamah tinggi memerintahkan penangguhan sementara penghantaran pulang bagi menyambung semula perbicaraan itu pagi esok.

Penangguhan itu dipohon dua kumpulan, Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia, yang bersama-sama meminta semakan semula kehakiman terhadap pengusiran tersebut.

Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan awal malam ini berkata pengusiran itu dilakukan hanya kepada warganegara Myanmar yang tidak termasuk etnik Rohingya, yang kebanyakannya disambut baik Malaysia pada masa lalu.

Jabatan itu juga mendakwa semua yang dihantar pulang bersetuju untuk kembali ke Myanmar.

Mereka dibawa dengan bas dan trak ke pangkalan tentera laut Lumut, dan menaiki tiga kapal tentera laut Myanmar. – 23 Februari, 2021.

Iklan
Iklan