Vaksin Covid-19 beri sinar harapan kepada sektor runcit
Iklan
SEKTOR peruncitan berharap program imunisasi Covid-19 secara besar-besaran dapat membantu memulihkan perniagaan menjelang akhir tahun ini.
Terdapat tanda-tanda awal, ketika penjualan meningkat sedikit sejak kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan dan membenarkan kedai dibuka dua hari sebelum Tahun Baru Cina, pada 10 Februari, kata Pengerusi Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA) Tan Thian Poh.
Beliau berkata peruncit pakaian dan tekstil kini berusaha menghabiskan stok yang dibeli sebelum perayaan itu.
Mereka berharap dapat membuat jualan yang baik ketika musim perayaan tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana pengumuman kerajaan membuka kembali kedai agak terlewat.
Selagi Putrajaya tidak mengenakan sekatan pergerakan dan penutupan kedai lagi, Tan berkata seiring dengan program vaksinasi, sektor ini berharap jumlah perniagaan dapat pulih 70% hingga 80% tahun ini.
“Jualan pasca Tahun Baru Cina masih perlahan. Kami masih cuba menghabiskan stok.
“Jika program imunisasi negara berjalan lancar dan tiada lagi yang arahan penutupan sektor oleh kerajaan, kami yakin industri pakaian dan runcit dapat pulih sepenuhnya pada akhir tahun.”
Tan berasa pengguna masih bimbang untuk membeli pakaian kerana jangkitan Covid-19 tetap tinggi antara 2,000 hingga 3,000 sehari.
Selain itu, norma baharu bekerja dari rumah turut mengurangkan permintaan untuk pakaian dan kasut baharu.
Presiden Persatuan Peruncitan Malaysia (MRCA) Shirley Tay berkata, rangkaian kedai pakaian mencatatkan kenaikan jualan 40% hingga 50% kerana tempoh Tahun Baru Cina, tetapi penjualan kasut tidak bertambah baik.
Sebaliknya, rangkaian kedai menjual produk ubatan dan kesihatan menunjukkan peningkatan jualan yang baik.
Secara keseluruhannya, operasi rangkaian kedai pada umumnya merudum teruk semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Tay. Dengan pemulihan kecil selepas dibuka semula pada 10 Februari, prestasi masih buruk.
Bagaimanapun, bagi rangkaian restoran, perniagaan meningkat sebanyak 50% selepas had makan di kedai untuk dua orang bagi setiap meja ditarik semula.
Namun, di sebalik peningkatan ini, banyak perniagaan rangkaian kedai beroperasi menggunakan pinjaman, selepas menghabiskan aliran tunai mereka semasa awal penutupan sejak tahun lalu.
“Banyak perniagaan meminta moratorium pinjaman daripada bank. Namun, mereka masih terpaksa membayar bunga,” kata Tay.
Beliau juga yakin ketibaan vaksin Covid-19 akan membantu industri dan mengembalikan keyakinan pengguna.
“Corak pengguna berubah kerana jumlah kes Covid-19 yang tinggi.
“Saya berharap dengan kedatangan vaksin, pengguna akan mulai membeli barang dengan bijak. Jika tidak, hanya akan ada penjual dan tiada pembeli, dan perniagaan akan menghadapi masalah.”
Tay juga menantikan kemungkinan “laluan hijau” dengan negara tertentu sehingga pelancong asing dapat memasuki Malaysia dan merangsang ekonomi tempatan.
“Pada masa ini, kami hanya bergantung pada pengguna tempatan untuk mendorong pasaran pengguna. Jika pelancong asing boleh masuk, saya yakin ekonomi akan pulih semula.”
Kedai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat agar dapat dibuka, seperti pembasmian kuman sekurang-kurangnya tiga kali sehari.
Selain memakai pelitup muka dan pemeriksaan suhu, kedai pakaian perlu menyediakan sarung tangan pakai buang untuk pelanggan.
Bagi kedai alat mekap dan minyak wangi, pelanggan tidak dibenarkan mencuba produk.
Pakar kesihatan memberi amaran walaupun dengan program vaksinasi, orang ramai masih perlu mempraktikkan SOP untuk mengekang kemungkinan penularan.
Vaksinasi dilakukan secara sukarela, walaupun kerajaan mensasarkan untuk mengimunisasi sekurang-kurangnya 80% daripada jumlah keseluruhan penduduk. – 25 Februari, 2021.