Iklan

Jangan sebar berita palsu tolak vaksin Covid-19, kata polis

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago25th Feb 2021Berita
Vaksin covid-19 seth akmal
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama bermula semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Februari, 2021.
Iklan

POLIS meminta orang ramai agar berhenti daripada menyebarkan berita tidak benar yang cuba menakut-nakutkan masyarakat melalui media sosial supaya tidak mengambil vaksin Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang berbuat demikian, jika ada laporan dibuat mengenainya.

“Polis akan membuka kertas siasatan sekiranya menerima sebarang laporan polis berhubung isu ini. 

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Bagaimanapun, setakat ini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan digunakan polis untuk menyiasat kesalahan mengeluarkan kenyataan dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula menyentuh kesalahan salah guna kemudahan komunikasi.

Sehubungan itu, Acryl menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat.

Semalam, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama bermula dan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin antara yang awal menerima suntikan vaksin Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun, terdapat kelompok antivaksin dikesan melobi masyarakat untuk menentang program itu dengan menyebarkan pelbagai maklumat salah, alasan tidak munasabah dan bertentangan dengan ilmu sains.

Pada November 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah memberi amaran ancaman fenomena ‘infodemik’ iaitu penyebaran berita palsu atau maklumat tidak tepat yang berisiko membahayakan pelaksanaan program imunisasi Covid-19. – 25 Februari, 2021. 

Iklan
Iklan