MCA, MIC tidak sokong Umno putus hubungan dengan Bersatu, kata sumber
Iklan
KEPUTUSAN Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional adalah pilihan sendiri dan tidak mencerminkan pendirian MCA, MIC atau Barisan Nasional (BN), kata sumber MCA.
Sumber itu berkata keputusan demikian tidak dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang diadakan pada 3 Mac.
“Itu adalah pandangan Umno sendiri. Majlis Tertinggi BN tidak mencapai sebarang keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional atau Bersatu.
“Buat masa ini, situasi BN tidak berubah dan Perikatan Nasional masih kekal dan kerjasama kami masih sama.
“MCA tidak mahu kekacauan politik dengan membincangkan isu membubarkan Parlimen dan memulangkan kuasa kepada rakyat ketika pandemik Covid-19 masih berleluasa dan usaha untuk mengawalnya sedang dilakukan.
“Jika tidak, ketidaktentuan akan berlaku dengan rakyat tidak tahu siapa yang akan berkuasa untuk menangani pandemik,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.
Satu lagi sumber berkata perpecahan antara BN dan Perikatan hanya akan memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk berkuasa.
“Saya tidak tahu bagaimana Umno mendapat keyakinan untuk menang dalam pilihan raya akan datang.
“Seperti yang berlaku, PAS menyokong Bersatu dan dilihat tidak menyokong keputusan Umno.
“Jika kita berpisah, ia akan memanfaatkan Pakatan Harapan.”
Semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa partinya akan menamatkan kerjasama dengan Perikatan dan Bersatu pada pilihan raya akan datang.
Pada masa ini, Umno masih sebahagian kerajaan pemerintah menerusi BN dan sebelum ini menolak jemputan untuk menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional.
BN diwakili oleh Umno, MCA, MIC dan PBRS. – 5 Mac, 2021.
Berita penuh di sini.