Iklan

Harga beras import naik ekoran pandemik, faktor luar, kata peniaga

Khoo Gek San4 years ago6th Mar 2021Berita
Volunteers mco 120420 tmiseth 05
Beras import dibawa masuk dari Thailand, Vietnam, Pakistan, India dan Myanmar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2021.
Iklan

HARGA beras import akan meningkat sebanyak 4% dalam  tempoh beberapa bulan akan datang, kata pemborong dan peniaga beras tempatan.

Mereka berkata perkara itu dimaklumkan oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) bulan lalu tetapi perubahan harga yang berlaku hari ini tidak menggambarkan bahawa Bernas mengalami kekurangan stok beras import.

Pengarah Urusan THC Rice Sdn Bhd Ter Thian Tin memberitahu The Malaysian Insight bahawa harga beras import meningkat dari RM2,150 kepada RM2,250 setan pada 15 Februari lalu.

Beras import dibawa masuk dari Thailand, Vietnam, Pakistan, India dan Myanmar.

“Permintaan terus meningkat tetapi pasaran kekurangan bekalan. Bukan setakat itu, kos baja, tenaga kerja dan pengangkutan turut menyebabkan kenaikan harga beras dunia,” kata Ter.

“Kadar pengeluaran beras di Thailand baru-baru ini terjejas ekoran isu politik.

“Vietnam yang merupakan antara negara utama pengeluar beras, juga berdepan masalah banjir tahun lepas.

“Vietnam masih mengeksport beras wangi dan import beras putih untuk rakyatnya. Jadi ini puncanya harga beras naik.”

Untuk beras tempatan, Ter berkata hasil tuaian dari Kedah bermula Januari hingga Februari tahun ini tidak memuaskan ekoran faktor perubahan cuaca, kurang hujan, masalah serangan serangga dan faktor lain.

“Tetapi pengguna tidak perlu bimbang kerana kenaikan harga beras kerana kerajaan telah menetapkan harga siling beras RM26 setiap 10 kilogram bagi beras putih.

“Pengeluar beras tempatan menerima pelbagai subsidi kerajaan termasuk benih dan baja.

“Banyak persaingan antara pemborong beras dan mereka menampung kenaikan harga beras import,” katanya.

Ter berkata Kementerian Pertanian dan Industris Asas Tani telah bertemu dengan pemborong dan petani untuk mencari kaedah penanaman yang lebih berkesan.

“Dengan hanya meningkatkan hasil, kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada beras putih import. Malangnya, petani masih belum mahu berubah.

““Penanaman anak benih secara manual memperlahankan penanaman dan tidak teratur. Sebab itu kerajaanh mendorong penanaman secara sistematik.

“Malaysia jarang menanam padi wangi. Dalam beberapa tahun terakhir, kerajaan telah meneliti dan mengembangkan pelbagai variati padi dan hasilnya tidak baik,” kata Ter.

Kebergantungan terhadap beras import

Import beras dimonopoli oleh Bernas, kata Pengerusi Persatuan Pemborong Beras Semenanjung Malaysia Tan Swee Huat.

Menurutnya, bekalan beras tempatan tidak cukup untuk memenuhi 60% permintaan dalam negara. Kenaikan harga beras tidak dapat dielakkan kerana beras perlu diimport untuk mengatasi kekurangan bekalan.

“Kenaikan harga beras import tidak dapat dikawal. Pandemik Covid-19 menyebabkan kos pengangkutan naik 50%.

“Ditambah pula dengan masalah kurang kontena, jadi kenaikan harga beras import memang kita tak dapat elakkan.”

Tambah beliau, permintaan terhadap beras semasa perintah kawalan pergerakan kerana orang ramai banyak membeli untuk simpanan, manakala restoran kurang membeli kerana pelanggan tidak dilarang makan di kedai.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia Hong Chee Meng pula berkata mereka dimaklumkan oleh pemborong bahawa harga beras import akan naik.

Peruncit tidak akan rugi tetapi tiada pilihan lain selain menjual dengan harga baharu, kata Hong.

“Kalau harga barang naik, kami jual mengikut harga pemborong. Harga bagi setiap beras wangi dan beras biasa berbeza mengikut jenama.” – 6 Mac, 2021.

Iklan
Iklan