Kami lebih rela ke kedutaan Singapura minta bantuan, kata rakyat Malaysia di Myanmar
Iklan
RAKYAT Malaysia di Myanmar meluahkan kekecewaan dengan pihak kedutaan Malaysia di Yangon kerana didakwa gagal memberi jaminan keselamatan susulan situasi di negara itu.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight lebih rela ke kedutaan Singapura untuk meminta bantuan sekiranya keadaan menjadi lebih teruk dengan protes dan laporan keganasan tentera.
Mereka mendakwa kedutaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, atau memaklumkan kepada mereka pelan tindakan kecemasan untuk keluar dari negara yang dikawal tentera itu.
Seorang warga Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Surya berkata ketika ini beliau lebih rela ke kedutaan Singapura yang dilihat lebih membantu.
“Saya ada beberapa rakan warga tempatan dan juga rakyat Malaysia yang bekerja di kedutaan di sini, dan hanya mereka yang berkongsi perkembangan apa yang berlaku kepada saya. Tidak pernah ada sebarang kenyataan rasmi daripada kedutaan kita.
“Malah kami juga tidak mendapat sebarang maklumat mengenai penerbangan bantuan yang beroperasi setiap tiga hari. Terdapat juga dua harga berbeza, ada yang mendapat harga murah berbanding yang lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Mawi berharap kedutaan Malaysia akan berhubung dengan rakyat Malaysia di Myanmar untuk memberikan mereka jaminan serta nasihat mengenai keadaan semasa.
“Apa yang lebih penting, mereka perlu berikan kami pelan dan prosedur untuk tindakan kecemasan.
“Sudah lebih sebulan sejak rampasan kuasa tentera dan kedutaan hanya berdiam diri tanpa sebarang pengumuman sebarang tindakan atau pelan rancangan luar jangka sekiranya berlaku situasi mengancam nyawa,” katanya.
Seorang lagi warga Malaysia yang hanya dikenali sebagai Chan berkata setakat ini pihak kedutaan hanya meminta mereka mengisi butiran di laman media sosial Google Sheet.
“Kedutaan sepatutnya memberi kami jaminan keselamatan. Ia juga sepatutnya bekerjasama dengan pihak berkuasa berkenaan untuk mengatur penerbangan pulang kami. Namun mereka tidak lakukannya.
“Ini sebabnya saya tidak akan ke kedutaan Malaysia untuk meminta bantuan sekiranya keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.
Warga Malaysia yang mahu dikenali sebagai Rahman berkata pihak kedutaan sepatutnya menghantar emel dan menghubungi melalui telefon atau WhatsApp bagi memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) ketika kecemasan.
Beliau juga berkata akan terus ke lapangan terbang atau bersembunyi di rumah rakannya berbanding ke kedutaan Malaysia jika keadaan memerlukannya berbuat demikian.
Mereka enggan mendedahkan identiti sebenar atau jenis perniagaan atau pekerjaan di Myanmar kerana bimbang dengan tindak balas daripada pegawai kedutaan Malaysia.
Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Luar Negeri Chenderawasih Abdul Malak bagaimanapun berkata kementerian terus mengawasi situasi dengan teliti dan akan mengemas kini nasihat konsulat dengan sewajarnya. – 13 Mac, 2021.
Berita penuh di sini