Kebetulan Xavier keluar PKR lepas disiasat SPRM, sindir Najib
Iklan
SATU kebetulan Ahli Parlimen Kuala Langar Xavier Jayakumar keluar PKR sebelum selepas beliau dikaitkan dengan siasatan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sindir bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib memetik beberapa laporan berita tentang siasatan SPRM melibatkan Timbalan Pengerusi PKR Perak MA Tinagaran yang ditahan atas dakwaan rasuah pada bulan lalu.
“YB ini (Xavier) dikaitkan dengan kes SPRM pembantunya serta kawan baiknya ditahan berkait kes rasuah di mana wang tunai RM1.2 juta disita, RM77 juta dalam akaun-akaun bank dibeku dan beberapa buah kereta mewah dirampas.
“Berita bulan lepas. Mungkin tidak ada kaitan,” sindir Najib.
Tinagaram ditahan SPRM pada bulan lalu kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat untuk satu projek yang diberikan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 2019 ketika Xavier menjadi menterinya.
SPRM berkata lelaki yang ditahan mempunyai kaitan dengan Xavier tetapi bekas menteri itu mengulangi bahawa Tinagaran hanya merupakan saudara rapat dan bukan pembantunya seperti dilaporkan media.
Hari ini Xavier umum keluar PKR dan mahu terus berkhidmat di kawasannya dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional sebagai calon bebas.
Xavier mengambil tindakan itu selepas dua lagi wakil rakyat PKR, Larry Sng yang merupakan Ahli Parlimen Julau dan Steven Choong, Ahli Parlimen Tebrau umum keluar parti itu pada bulan lepas dan menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – 13 Mac, 2021.